Monday, June 21, 2010

Bantah pinda akta pekerja


SHAH ALAM , 21 Jun : Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) merancang untuk mengadakan perhimpunan di Putrajaya dalam masa terdekat sebagai bantahan terhadap cadangan Pindaan Undang- undang Buruh 2010 oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia, baru- baru ini.

Pengerusi Kaukus Pekerja Parlimen Malaysia, Abdullah Sani berkata, pihaknya menyasarkan seramai 100,000 pekerja dari seluruh negara akan menyertai perhimpunan dan turut diadakan ialah perarakan serta pemberian memorandum kepada Perdana Menteri.

Menurutnya, pihaknya juga akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk menerangkan perjuangan sebenar mereka terhadap penolakan cadangan pindaan Undang- undang Buruh supaya pekerja di negara ini mengetahui implikasi terhadap mereka sekiranya pindaan itu dilaksanakan dan dijangka akan dibuat pada Julai nanti.

“Selepas ini, kita akan mengadakan siri jelajah di Melaka dan kita juga turut mendapat jemputan ke Pulau Pinang untuk menerangkan hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menjadi ahli panel dalam Forum Perdana Pekerja Tolak Cadangan Pindaan Undang- undang Buruh 2010 oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia yang dianjurkan oleh Gabungan Kesatuan Pekerja- Pekerja Selangor, dekat sini, semalam.

Abdullah Sani berkata, pihaknya mengadakan bantahan berikutan cadangan kementerian itu yang akan melakukan pindaan terhadap tiga akta iaitu Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Perhubungan Perindustrian 1967 dan Akta Pekerjaan 1955.

“Kita mahu, pekerja di negara ini sedar sekiranya pindaan akta itu dilaksanakan, hak mereka akan dinafikan,” katanya.SH

No comments: