Monday, June 28, 2010

Kaji semula skim pencen awal tentera



PARIT BUNTAR, 28 Jun : Kerajaan digesa mengkaji semula skim pencen awal untuk anggota tentera yang kebanyakannya berada di paras kemiskinan dengan pencen hanya berjumlah RM750 sebulan.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar Hamdan Fadel Ahmad berkata, nasib ribuan anggota tentera yang bermatian mempertahankan kedaulatan negara perlu diberi perhatian melalui penyelarasan semula skim pencen.

“Masalah pencen tentera ini bukan isu yang baru tetapi telah lama. Mereka yang bersara ini masih muda dan dibiarkan begitu sahaja untuk menyara hidup.

“ Masalah bertambah runcing apabila kebanyakan pesara anggota tentera ini mengambil jalan mudah dengan membuat pinjaman dengan ceti haram” katanya yang juga bekas tentera

Hamdan berkata Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar menerima beberapa aduan dari pesara tentera yang tidak mampu menanggung perbelanjaan keluarga kerana pencen yang diterima terlalu kecil.

“ Apabila bebanan kewangan bertambah sedangkan pencen diterima tidak mencukupi, ada pesara tentera yang terpaksa meminjam dari along.

“ Keadaan bertambah buruk apabila mereka tidak dapat melangsaikan hutang pinjaman dengan along tersebut dalam masa yang ditetapkan” katanya

Menurutnya, kerajaan ternyata lebih mengutamakan pembelian senjata tetapi mengabaikan kebajikan tentera.

“ Setakat ini kerajaan tidak dapat memberi satu kaedah penyelesaian untuk membantu pesara tentera.

“ Kerajaan lebih banyak membelanjakan wang untuk membeli senjata tetapi tidak menekan kebajikan anggota tentera dan pesara tentera "katanya

No comments:

Post a Comment