SHAH ALAM, 30 Jun : Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini bersetuju untuk memulakan pelaksanaan Integrity Pact yang dimulakan dengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang dimiliki sepenuhnya Menteri Besar Pemerbadanan (MBI).
Ini bermakna, semua peserta tender yang bersaing untuk memenangi kontrak perlombongan pasir dengan KSSB diminta untuk menandatangani Integrity Pact untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam aktiviti perniagaan mereka.
Perjanjian itu akan memastikan semua pihak yang telah menandatangani Integrity Pact tidak melakukan rasuah dalam bentuk wang tunai atau lain-lain yang dikategorikan rasuah.
Kerajaan Selangor akan bekerja sama dengan Transparency International yang telah setuju untuk membimbing dan memberi nasihat kepada KSSB dalam merangka, menandatangani dan melaksanakan Integrity Pact.
Kerajaan Negeri yakin KSSB adalah organisasi terbaik untuk memulakan pelaksanaan Integrity Pact susulan pelbagai kritikan terhadap syarikat ini.
Integrity Pact membolehkan KSSB meningkatkan kecekapan dan mengelak risiko berlakukanya rasuah. Cara ini juga dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai sistem perolehan KSSB dan secara langsung menaikkan lagi reputasi dan imej syarikat.
Perjanjian ini akan membolehkan semua pemegang saham iaitu KSSB dan syarikat-syarikat yang mendapat kontrak perlombongan pasir untuk menjauhkan diri dari rasuah dan penyelewengan untuk terus kekal sebagai peneraju utama industri perlombongan pasir di negeri ini.
Kerajaan Negeri akan membawa keputusan ini kepada Ahli Lembaga Pengarah KSSB untuk dilaksanakan serta merta. Dengan pelaksanaan Integrity Pact di KSSB ini, Kerajaan Negeri berharap perjanjian ini dapat diterapkan dalam projek dan jabatan kerajaan yang lain.
Perjanjian ini melengkapkan lagi usaha-usaha yang telah dilakukan Kerajaan Selangor seperti mengklasifikasikan semula dokumen, minit mesyuarat, tender terbuka dan tidak lama lagi akan membentangkan Enakmen Kebebasan Maklumat pada sidang Dewan Negeri Selangor pada Julai ini.
Semua langkah ini membuktikan komitmen penuh Kerajaan Selangor terhadap prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbirannya.
*Kenyataan media oleh Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor.
No comments:
Post a Comment