Thursday, June 3, 2010
Tamatkan khidmat UPCO serta merta
KOTA BHARU, 2 Jun : Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, adalah sesuatu malang sekiranya Kerajaan Pusat terus mengekalkan peranan syarikat dari Israel, Upco setelah negara Zionis itu melakukan tindakan zalim terhadap anggota misi bantuan Gaza, ‘Freedom Flotila’ Isnin lalu.
Menurutnya, kebencian kepada kekejaman yang dilakukan Israel harus dibuktikan dengan menidakkan peranan negara itu dalam pentadbiran negara yang sebelum ini dikatakan berlindung di belakang syarikat penasihat.
“Pembatalan serta merta kontrak Apco tidak boleh dilakukan oleh kita rakyat biasa. Ia hanya boleh dilakukan oleh Perdana Menteri dan kebencian kepada kekejaman Israel harus dibuktikan dengan menidakkan peranan Israel dalam urusan negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dalam kejadian Isnin lalu, kapal yang membawa 700 aktivis kemanusiaan dari pelbagai negara diserang Komando Laut Israel mengakibatkan 19 maut, manakala 30 lagi cedera.
Dalam pada itu, Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri berkata, tindakan rakyat berdemonstrasi ke kedutaan Amerika Syarikat kelmarin merupakan satu langkah yang tepat untuk mempamerkan respons dan kemarahan ke atas tindakan yang tidak berperikemanusiaan Israel.
“Namun, selepas Kedutaan Amerika, tidak selesai demo bantahan ini jika kita tidak lanjutkan ke depan pejabat Perdana Menteri. Menaja syarikat dari Israel sama dengan menaja Israel. Bermakna, tangan kita telah terpercik darah saudara kita yang tertindas,” katanya.
Dalam pada itu Husam berkata, cubaan mengenakan tindakan menggantung dewan ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membongkar isu Apco harus ditarik balik.
“Jika tidak, Israel mentertawakan kita. Baru beberapa bulan Apco diterima menjadi penasihat negara kita, kita sudah bersedia mengorbankan anak watan kita sendiri demi Israel.
“Kita marahkan Amerika. Tapi jangan lupa, kalau kita sendiri gagal membetulkan tindakan Putrajaya, apa sangat yang hendak kita harapkan dari Amerika, apa lagi Israel?” katanya.SH
No comments:
Post a Comment