Friday, July 2, 2010

Anak muda Malaysia buktikan benci judi esok

KUALA LUMPUR, 2 Julai: Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) menyeru anak-anak muda Malaysia bersama-sama dalam himpunan kempen Tak Nak Judi esok, 3 Julai di Masjid Negara sebagai membuktikan kepada negara bahawa mereka membenci judi.

Setiausahanya, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, semua agama dan bangsa dialu-alukan untuk menyertai kempen tersebut kerana amalan judi jelas bertentangan dengan semua agama.

"Wahai anak-anak muda Malaysia bangkitlah menolak rasuah, salahguna kuasa, pembaziran dan perjudian. Masa depan negara terletak di tangan kita. Bebaskan negara daripada amalan berjudi. Buktikan keazaman kita untuk menyelamatkan agama, bangsa dan tanah air daripada amalan keji ini.

"Mari kita buktikan kepada negara bahawa generasi Anak Muda Malaysia bencikan judi. Marilah kita buktikan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) bahawa kami semua bencikan judi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suhaizan memberitahu, himpunan akan dimulakan dengan solat Zuhur dan solat hajat secara berjemaah di masjid bagi yang beragama Islam sebelum ucapan daripada wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik sekaligus pelancaran kempen berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat turut berkata, negara bakal mencipta sejarah esok kerana buat pertama kalinya sejak merdeka, rakyat berjaya menolak judi sukan dan GMJ melangkah ke hadapan dengan mendidik rakyat membenci judi yang merupakan amalan yang tidak baik dan boleh meruntuhkan keluarga, masyarakat dan negara.

"Sama ada kita suka atau tidak, aktiviti judi telah dibuktikan menjadi punca kepada ketagihan, pergaduhan, kehancuran, penindasan, penipuan, kemalasan dan keganasan. Apakah kita sanggup melihat 50 tahun kedua negara kita selepas merdeka berduka dengan amalan keji daripada amalan syaitan ini?

"Kita harus menginsafi di sana terdapat anak-anak, wanita, orang tua dan keluarga yang telah lama menjadi mangsa kepada ketagihan judi ini,” ujarnya.

Katanya, mereka ditendang, disepak, dipukul dan dihina oleh suami atau anak-anak mereka yang kalah judi.

“Mereka semua menanti kita semua menyelamatkan negara daripada amalan yang jelas bertentangan dengan semua agama ini," katanya lagi.

Tegasnya, keburukan amalan judi tidak dapat disangkal lagi oleh semua bangsa dan agama kerana terbukti mengkayakan pengusaha judi dengan menjadikan rakyat yang ketagihan judi sebagai mangsa.

Justeru, beliau menggesa semua rakyat bangkit membasmi amalan zalim itu.
"Mungkin kita berbeza agama, bangsa dan fahaman politik tetapi semua kita boleh bersetuju bahawa judi adalah amalan yang hina,” katanya.

Menurutnya lagi, judi tidak boleh membahagiakan pemain judi malah menghancurkan mereka di mana yang tetap kaya di atas penindasan itu adalah pengusahanya.

Katanya, modus operadi judi dan dadah adalah hampir serupa menjadikan pelanggannya sebagai mangsa untuk memperkayakan beberapa kerat orang kaya dan yang ketagihan sebagai pelarisnya.

"Bukankah itu zalim namanya? Mengapa kita menjadi lemah kerana tekanan-tekanan persekitaran kita. Apakah kita sanggup mempertahankan beberapa kerat pengusaha judi sehingga kita sanggup membiarkan rakyat terbanyak ditindas dan dihina? Bukankah itu dayus namanya?" soalnya.

No comments:

Post a Comment