Monday, July 26, 2010

Kerajaan pusat petualang sebenar kes curi pasir



SHAH ALAM, 26 Julai : Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat meneruskan gesaan kepada Kerajaan Pusat untuk tidak mensabotaj usaha Kerajaan Negeri Selangor membasmi kegiatan mencuri pasir.

Adun Hulu Kelang, Saari Sungip berkata Kerajaan Pusat menyuburkan kegiatan mencuri pasir dengan memansuhkan kuasa Pejabat Tanah dan Daerah serta Jabatan Galian Tanah, seraya menjadikan agensi terbabit tidak berupaya untuk memberkas petualang pasir terbabit.

Saari dalam nada berseloroh pada awalnya menyoal siapa gerangan yang bertanggungjawab dalam isu kecurian pasir di Selangor, diikuti dengan penjelasan bagaimana isu kecurian pasir di negeri ini dikatakan sebagai satu usaha terancang oleh Kerajaan Persekutuan.

" Tuan-tuan, siapa yang curi pasir ini? Pencuri. Yang curi pasir ini ialah pencuri. Isu pencuri ini bidang kuasa pihak polis" seloroh Saari.

Berucap dalam ceramah umum "Siapa Curi Pasir", Saari menjelaskan, amalan kerajaan UMNO-BN ketika memerintah Selangor menjadikan masalah pasir di Selangor semakin rumit untuk diselesaikan.

Ianya menjadi semakin teruk apabila berlakunya amalan pendakwaan terpilih serta wujud usaha untuk melindungi pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.

"Isu pencuri pasir ini ialah masalah penguatkuasaan di peringkat persekutuan. Saya hendak bawa satu isu besar, di dewan pun tidak terbawa sebab tidak dapat maklumat yang sepenuhnya" tambahnya lagi.

Tambahnya, amalan menyelamatkan kroni ini dikukuhkan oleh kerajaan pusat dengan meluluskan akta baru di peringkat Persekutuan pada November 2008 apabila kuasa menahan orang yang mencuri atau pun disyaki mencuri pasir tidak lagi di bawah bidang pegawai penguatkuasa PTD dan PTG.

Penahanan hanya boleh dibuat ketika operasi bersepadu yang melibatkan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilakukan.

Bahkan sekiranya ada kes kecurian yang terbongkar, ianya pantas dibersihkan melalui agensi yang tertakluk dibawah telunjuk kerajaan pusat.

" Ada pendakwaan pun suruh ditarik balik. Ini realitinya yang saya hendak tuan-tuan paham. Bagaimanakah kuasa pendakwaan di peringkat negeri tidak ada. Kalau Timbalan Perdana Menteri, kalau Noh Omar mengatakan bahawa kita ada mencuri pasir".

"Ini kerana kelemahan kepada mereka, kerana pendakwaan lemah, penguatkuasaan memang kita boleh buat tetapi oleh kerana pendakwaan terpilih, kalau dia tengok, kalau ada pencuri itu dari kelompok mereka, maka tidak ada pendakwaan" tambahnya lagi.

Disebabkan itulah ujar Saari, walaupun pihak kerajaan negeri menjalankan penguatkuasaan, namun ia tetap tidak berhasil untuk membanteras kecurian pasir di Selangor secara menyeluruh.

Baru-baru ini, Dewan Negeri Selangor mencatat sejarah apabila menjadi negeri pertama yang akan membawa dan membahaskan Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat dalam Dewan Negeri.

Rang undang-undang ini bertujuan untuk mempertingkatkan penzahiran maklumat berkepentingan awam supaya setiap individu punyai peluang akses kepada maklumat setiap jabatan negeri.

Selain untuk merakyatkan informasi, ia juga akan menjadi perantara usaha yang dijalankan kerajaan negeri agar rakyat tidak mudah tertipu sekiranya timbulnya isu yang sengaja dimanipulasi oleh kerajaan pusat.

"Telus, kontraktor baik, developer baik, pemaju, peniaga, usahawan, korporat yang ada urusan dengan dana rakyat dari jabatan-jabatan kerajaan negeri dan jabatan kerajaan tempatan, tuan-tuan boleh minta maklumat".

Menurut Saari, dengan tertubuhnya jawatankuasa berkenaan, maka rakyat berpeluang untuk mengetahui perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

"Inilah yang menyebabkan UMNO panic. Maknanya lepas ini, selepas jawatankuasa yang dipengerusikan oleh saya ini di bawa ke dalam dewan, sekurang-kurangnya pada bulan Mac tahun depan rakyat berhak tahu siapa yang dapat kontrak pasir selama ini dengan Selangor".

"Siapa yang bekalkan lori, siapa yang bekalkan kren, siapa bekalkan pasir, siapa jadi gengstar, siapa Ketua Cawangan, siapa Ketua Bahagian yang dapat saham".

No comments:

Post a Comment