Saturday, July 10, 2010

Letak calon bebas jika ROS tak lulus


























KUCHING, 10 Julai :
Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB), sebuah parti politik baru, dijangka membariskan calon bebas jika Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan permohonan pendaftarannya sebelum pilihan raya kecil negeri itu.

Ketua Penaja PERSB Zon Utara, Michael Jok, hari ini berkata parti itu akan bertanding di kesemua 31 kerusi negeri pada pilihan raya negeri yang dijadual sebelum Julai tahun depan.

Selain itu, katanya, parti itu juga akan bertanding di 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada pilihan raya umum ke-13 akan datang tanpa sebarang gabungan dengan mana-mana parti dari Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang.

“Bergantung kepada keputusan ROS ekoran permohonan kami pada 20 April lepas, kita akan bertanding sebagai calon PERSB atau calon bebas bersatu,” kata Jok, seorang peguam, yang bertindak sebagai jurucakap PERSB selepas mesyuarat penaja di sini.

Bekas Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bahagian Dalat, Salleh Mahdi, merupakan presiden penaja PERSB yang berpangkalan di Lawas.

Parti itu mendakwa mempunyai sokongan 200,000 petani tanaman jatropha dari 600 buah rumah panjang di negeri itu.

Jok berkata mereka yang terbabit dalam penubuhan parti baru itu secara langsung terlibat dalam projek pembangunan ekonomi rakyat Sarawak menerusi syarikat PERS Development Corporation Sdn Bhd.

Syarikat itu mengusahakan ladang jatropha di kawasan pedalaman hampir tiga tahun lalu.

Bernama

No comments:

Post a Comment