ALOR SETAR , 26 Julai : Ada pegawai Kerajaan Negeri didakwa enggan bekerjasama dengan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) kerana bersikap pro-UMNO dan cuba mensabotaj Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).
Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Wan Salleh Wan Isa berkata, pegawai ini juga dikenal pasti aktif berpolitik secara senyap sekalipun menyedari tindakan itu melanggar etika penjawat awam.
Wan Salleh berkata, kerenah birokrasi yang dihadapinya sewaktu menjadi wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat kawasan Kuah, Langkawi sebelum ini, turut membelenggu wakil rakyat PR di negeri ini.
“Jika masalah ini tidak diberi perhatian, saya bimbang wakil rakyat PR akan terus menjadi mangsa sabotaj pegawai pro-UMNO ini kerana mereka seolah-olah ada agenda tertentu untuk menjatuhkan PR.
“Saya ada terima maklumat kumpulan ini menerima arahan daripada orang tertentu untuk memporak-perandakan PR,” katanya.
Wan Salleh berkata, pegawai kerajaan perlu mengenepikan sentimen politik untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan proses pentadbiran berjalan lancar dan berkesan.
Menurutnya, sekiranya masalah sentimen politik ini berlarutan, beliau bimbang rakyat yang akan menjadi mangsa.
“Sebagai contoh, sebelum ini saya menerima peruntukan wakil ADUN sebanyak RM200,000 daripada Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan permasalahan kawasan Kuah, Langkawi.
“Bagaimanapun, saya hairan dengan sikap pegawai terlibat yang seakan cuba menyulitkan urusan saya untuk menggunakan peruntukan itu dengan pelbagai cara, sedangkan permohonan saya sebelum itu diluluskan Pejabat Menteri Besar Kedah dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).
“Sikap seperti ini jika dibiarkan akan menganiaya rakyat kerana peruntukan itu digunakan untuk rakyat,” katanya.
Ditanya mengenai pelawaan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad supaya beliau masuk UMNO, Wan Salleh menolak.
“Saya letak jawatan wakil ADUN Angkat kerana tak tahan dengan kerenah pegawai pro-UMNO, bukan tidak puas hati dengan Kerajaan Negeri,” katanya.SH
No comments:
Post a Comment