Thursday, July 29, 2010

Soi Lek tak layak komen


SHAH ALAM, 29 Julai : Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek tidak layak untuk membuat sebarang komen terhadap pengurusan kewangan Kerajaan Selangor, terutamanya melibatkan isu perlombongan pasir.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, kritikan Presiden MCA itu membuktikan beliau ketinggalan dan tidak mengetahui fakta sebenar.


“Sebelum kritik, beliau sepatutnya meneliti rekod kutipan hasil dan pembayaran royalti hasil perlombongan pasir di Selangor serta membuat perbandingan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

“Angka ini jelas membuktikan di bawah Kerajaan PR, keuntungan dan royalti di Selangor melonjak berbanding di bawah pentadbiran BN. Soi Lek hanya menutup mata dan membuat komen tidak berasas,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di sini, semalam.

Katanya, kritikan itu hanya untuk meraih perhatian dan mendapat sokongan semula masyarakat Cina yang semakin hilang keyakinan terhadap MCA.

“Sikap terburu-buru Soi Lek untuk mengejar populariti dalam kalangan masyarakat Cina menyebabkan bekas Menteri Kesihatan ini mengenepikan fakta sebenar.

“Perbuatan beliau yang tidak membuat kajian terlebih dahulu membuktikan beliau seorang pemimpin yang cetek ilmu pengetahuan mengenai isu perlombongan pasir di negeri ini,” katanya.

Menurut Teresa, Soi Lek perlu menerima hakikat bahawa penubuhan syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) berjaya meningkatkan kutipan hasil dan pembayaran royalti.

“Penubuhan KSSB ini juga bukan sahaja bertujuan mengaut keuntungan hasil perlombongan pasir, malah berjaya mengawal industri ini. Menerusi tender terbuka, KSSB berjaya mengurangkan kes kecurian pasir secara berleluasa sebelum ini.

“Walaupun aktiviti kecurian pasir masih dan tidak berjaya dibanteras sepenuhnya ketika ini, tetapi aktiviti curi pasir tidak serancak berbanding pemerintahan BN,” katanya.

Justeru katanya, masyarakat Cina dan rakyat Malaysia akan terus menjauhi parti itu jika pemimpinnya berterusan mencari kesilapan orang lain serta membuat kenyataan tanpa mengkaji fakta.SH

No comments:

Post a Comment