Tuesday, July 20, 2010
Umno menipu : IKYS tidak ditutup
SHAH ALAM, 20 Julai : Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) Bagan Terap di Sabak Bernam tidak ditutup, sebaliknya melalui proses penyusunan semula sebagaimana institusi lain di bawah jagaan Yayasan Selangor.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, IKYS itu bakal dijadikan pusat menjalankan Program Latihan Khidmat Nasional dan Program Pembinaan Modal Insan.
Katanya, situasi itu memberi peluang kepada Kerajaan Negeri untuk menggunakan sebaik-baiknya pusat pendidikan yang sudah diwujudkan.
“Kawasan itu (IKYS, Bagan Terap) kita tidak akan biarkan begitu sahaja kerana ia akan dijadikan tempat untuk kegunaan Program Latihan Khidmat Nasional dan juga dijadikan pusat bina insan.
“Jadi kedua-kedua situasi ini dapat memberikan kita peluang untuk mempergunakan sebaik-baiknya institusi pendidikan yang sudah diwujudkan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor dihoskan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), semalam.
Sementara itu Abdul Khalid berkata, ibu bapa pelajar yang anaknya menuntut di IKYS tidak perlu risau kerana mereka akan dipindahkan ke Kolej Antarabangsa Inpens (Inpens) di Kuala Selangor.
Katanya, pelajar IKYS amat bertuah berikutan Inpens merupakan salah sebuah kolej vokasional yang terbesar di bawah jagaan Kerajaan Negeri.
“Saya berpendapat ada baiknya ibu bapa pelajar terlibat menerima cadangan kita ini demi kebaikan anak mereka.
“Ini kerana di Inpens, anak-anak mereka akan mendapat tempat belajar yang lebih besar dan lengkap,”katanya.
Menurutnya lagi, anak-anak mereka juga boleh terlibat secara langsung dengan industri yang bersedia bekerjasama dengan Inpens.
“Dari segi kemudahan,Inpens Kuala Selangor adalah lengkap, iaitu mempunyai asrama serta mempunyai hubungan terus dengan industri sebagai tempat menjalani latihan dalam kerja,”katanya.
Abdul Khalid berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa pelajar terlibat sebelum mula memindahkan mereka ke Inpens.
“Inpens sekarang mempunyai 2,000 orang pelajar dan dapat menampung sehingga 5,000 pelajar termasuk tenaga pengajar,”katanya.
Terdahulu, Lebih 300 termasuk pelajar Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) mengadakan perhimpunan aman bagi membantah penutupan institusi itu oleh kerajaan negeri baru-baru ini.
Perhimpunan hampir dua jam yang bermula 10.30 pagi itu dibuat di pekarangan IKYS di Bagan Terap di sini.
Berita berkaitan
Kompleks Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) Bagan Terap, Sabak Bernam tidak akan ditutup sebaliknya akan dimanfaatkan sebagai Pusat Motivasi Pembinaan Modal Insan untuk rakyat di negeri ini.
Pengurus Besar, Yayasan Selangor, Ilham Marzuki berkata, Yayasan Selangor berasa amat kesal kerana terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk menjadikan perpindahan pelajar Institut Kemahiran Yayasan Selangor ke Kolej INPENS di Kuala Selangor sebagai satu isu.
“Kami ingin menegaskan bahawa perpindahan ini tidak akan menganiayai mana-mana pelajar di mana pelajaran mereka akan diteruskan seperti biasa. Malah, ia juga tidak mendatangkan apa-apa perubahan dari segi kursus dan program, tenaga pengajar, pengiktirafan persijilan, dan mutu pengajaran kecuali perubahan tempat sahaja.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa laporan akhbar yang mengatakan Kompleks IKYS akan ditutup adalah tidak benar kerana ianya digunakan untuk latihan khidmat nasional dan program pembinaan modal insan,” katanya semalam.
Katanya, keputusan tersebut merujuk kepada Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor kali ke-85 bil. 02/2010 yang memaklumkan bahawa semua pelatih dan program IKYS akan diserap dan digabungkan ke Kolej INPENS di Kuala Selangor.
“Penyerapan atau penggabungan ini tidak akan menjejaskan pelaksanaan pengajian serta pentauliahan sijil dan kursus seperti yang ditawarkan kepada pelatih.
“Malah ia tidak menjejaskan kemudahan Pinjaman Pendidikan Yayasan Selangor yang ditawarkan kepada pelatih, kos pengajian, penginapan dan peperiksaan pelatih di tempat baru,” katanya.
Katanya, penggabungan program kemahiran Pendawaian PW2dan PW4 serta Kursus Penghawa Dingin Tahap 1 dan Tahap 2 adalah bagi menamatkan pertindihan program atau kursus kemahiran yang dijalankan oleh Yayasan Selangor dan Kolej Inpens di mana kedua-duanya adalah agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor.
“Kita telah diberi peranan yang khusus untuk pembinaan modal insan melalui pendidikan di peringkat rendah dan menengah dan menyediakan dana untuk membiayai pelajar sehingga ke peringkat IPTA dan IPTS.
“Oleh yang demikian, perpindahan pelajar-pelajar IKYS (aliran vokasional) ke Kolej INPENS adalah tepat dan tidak bercanggah dengan peranan Yayasan Selangor,” katanya.
Menurutnya, perkara ini adalah selaras dengan hasrat untuk merasionalisasikan dan menyelaras fungsi agensi Kerajaan supaya tidak ada pertindihan antara agensi-agensi kerajaan. SH
No comments:
Post a Comment