Thursday, July 22, 2010
Umno perlu diganti
KUALA LUMPUR, 22 Julai : "Kekecewaan orang Melayu terhadap Umno sudahpun diketahui umum, sebab itu perlu ada politik baru di kalangan Melayu yang tidak rela membiarkan kepimpinan ini terus merosakkan bangsa dan negara."
Demikian maklum balas Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) petang tadi, mengulas rancangan 'Perpaduan Melayu' yang dipopularkan oleh beberapa pemimpin Umno belakangan ini.
Menurut beliau, budaya berpolitik yang diamalkan oleh Umno telahpun tergelincir dari landasan kebudayaan Melayu yang sebenar.
Katanya, perbincangan itu sudah tergelincir dari landasan yang sebenar kerana lebih untuk mempertahankan kepimpinan pemimpin dan parti politik tertentu walaupun mereka diketahui umum mengamalkan rasuah, pecah amanah, tidak menghayati keharmonian kaum dan tutup ruang demokrasi.
Sedangkan, katanya, kekuatan orang-orang Melayu yang sebenar adalah kembali berpegang teguh pada ajaran Islam.
"Kalau nak bincang tentang perpaduan Melayu, mengapa tidak pergi pada kekuatan sebenarnya, iaitu Islam," ujar beliau.
"Kekuatan Islam yang membentuk budaya orang-orang Melayu yang tinggi, tidak suka pada politik murahan dan pinggiran, amanah dan sangat menjaga maruah bangsa dari terjebak dengan politik yang tidak sihat."
Baginya, orang-orang Melayu seharusnya dididik dengan budaya berfikir yang lebih dinamik supaya tidak terperngaruh dengan anasir-anasir tidak sihat ciptaan pihak tertentu yang berkuasa.
Melihat pada kemusnahan budaya Melayu dalam Umno, beliau berkata, orang Melayu tidak perlu menunggu perpaduan Melayu melalui parti perkauman itu demi melakukan perpaduan mahupun perubahan dalam masyarakat.
Sebaliknya, perubahan paradigma dan budaya orang Melayu seharusnya diperkasakan melalui badan bukan kerajaan (NGO) berwajib serta dalam parti-parti alternatif yang popular di kalangan Melayu.
"Perubahan ini tidak perlu Umno, perpaduan atau perubahan ini sebenarnya perlu (kuasa politik) yang lain, perlu dibuat berperingkat di semua peringkat," tegasnya.
Beliau turut menolak formula popular di kalangan pemimpin Umno kononnya orang-orang Melayu seharusnya mendahulukan perpaduan Melayu melalui Umno walaupun segelintir kepemimpinan parti perkauman tersebut dilihat tidak berbudaya Melayu yang sebenar.
"Bukan Umno sahaja yang Melayu," tegasnya.
No comments:
Post a Comment