Tuesday, August 3, 2010

Demo aman tanpa polis


SUNGAI PETANI , 3 Ogos : Penduduk bandar ini mungkin tertanya-tanya mengenai kehadiran anggota polis bersama kenderaan pihak berkuasa berkenaan membanjiri Dataran Zero Kilometer seawal jam 6 petang dan berakhir lebih kurang jam 10 malam kelmarin dengan anggaran seramai 200 anggota yang terlibat.

Anggota polis yang membanjiri dataran tersebut adalah sebagai langkah berjaga-jaga terhadap Demonstrasi Gerakan Mansuh ISA (GMI) yang dirancang pada jam 8 malam, namun walaupun kawalan ketat diadakan, demonstrasi tetap diteruskan di lokasi berlainan.


Ketua Pasukan Keadilan Kedah Tengah, Simon Ooi berkata, oleh kerana anggota polis mengambil langkah mengadakan kawalan ketat dan tidak membenarkan peserta demonstrasi mendekati Dataran Zero Kilometer, mereka terpaksa mengubah lokasi di hadapan Kompleks SP Plaza.

“Walaupun kita lihat anggota polis mengambil langkah awal dengan mengadakan kawalan ketat di lokasi asal, namun demonstrasi ini harus dilaksanakan juga secara aman di hadapan Kompleks SP Plaza.

“Pada awalnya peserta demonstrasi lebih ramai, namun melihat kepada situasi ini, hanya tinggal 50 peserta sahaja menjalankan Demonstrasi GMI sempena ulang tahun penubuhan akta tersebut hari ini (1 Ogos),” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Turut hadir menyertai demonstrasi terbabit ialah Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria; Exco Kerajaan Negeri Kedah, Tan Chow Kang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Nasir Mustafa.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nasir berkata, beliau mewakili Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah untuk menyertai demonstrasi terbabit bagi menyatakan pendirian untuk pemansuhan ISA kerana bercanggah dengan prinsip keadilan, kedaulatan undang-undang, kepercayaan agama dan budaya tamadun.

“Kami berharap kerajaan menunaikan janji melihat semula akta yang ada dalam negara untuk dimansuhkan dan percaya bukan sahaja parti politik yang minta Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ini dimansuhkan, namun rakyat secara keseluruhannya juga mengharapkan pemansuhan ini,” katanya.

Sementara itu, Simon berkata, demonstrasi GMI yang diadakan di sini adalah sempena 50 tahun ISA ditubuhkan dan rakyat seluruh negara berhimpun pada masa sama kelmarin untuk menyatakan bahawa akta berkenaan dan segala undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara harus dimansuhkan dengan segera dan bukannya dipinda.

Perhimpunan terbabit yang dirancang jam 8 malam diadakan pada jam 8.40 malam dan berakhir lebih kurang 9 malam dalam keadaan aman tanpa ada tangkapan dilakukan polis.SH

No comments:

Post a Comment