Monday, August 16, 2010

Isu Pampena : Menteri MCA mungkin terlibat































KUALA LUMPUR, 16 Ogos:
Ekoran dakwaan ke atas para pegawai kanan anak syarikat Kementerian Pelancongan, Pempena Sdn Bhd, para pemimpin DAP hari ini tertanya-tanya apakah menteri dari MCA juga akan turut didakwa kerananya.

Ini kerana, sebelum ini, bekas Presiden MCA yang juga bekas menteri pengangkutan, Tun Ling Leong Sik telah didakwa ekoran skandal Zon Perdagangan Bebas Perlabuhan Klang (PKFZ).


"Tertanya-tanya adakah seorang menteri MCA akan didakwa ekoran kecuaian dalam meluluskan pinjaman oleh pengerusi Pempena," tulis Setiausaha Publisiti DAP, Tony Phua (
gambar) dalam twitternya.

Pagi tadi, dua bekas pegawai kanan Pempena Sdn Bhd, anak syarikat Tourism Malaysia yang pernah dilanda kontroversi kewangan melibatkan kira-kira RM50 juta ketika kepimpinan bekas menteri pelancongan Datuk Seri Azalina Othman, dikenakan tuduhan jenayah pecah amanah hari ini.


Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pempena Mohd Rosly Mohd Selamat dan bekas pengawal kewangan Lim Khing Tai dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini berhubung pembayaran yang dibuat kepada Ummi Hafilda Ali, saksi utama kes liwat dan salah guna kuasa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih sedekad lalu.


Tuduhan jenayah pecah amanah Rosly dan Lim melibatkan bayaran berjumlah RM169,700 dituduh dilakukan genap empat tahun lalu.


Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Pempena di PWTC pada 15 Ogos 2006, lapor The Malaysian Insider.


Jika sabit kesalahan Rosly dan Lim boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun tetapi tidak melebihi 20 tahun, satu sebatan dan denda.


Hakim Mahkamah Sesyen Rozana Ali Yusof menetapkan ikat jamin RM20,000 dan kes akan disebut semula 6 September ini.


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfokus terhadap Pempena dan syaikat gabungannya iaitu Malaysian Travel Business Sdn Bhd dan SD Corp Communications Sdn Bhd, yang mempunyai tenaga kerja berlebihan daripada yang dibenarkan.


Pempena dikatakan mengambil 20 kakitangan meskipun peraturan kerajaan hanya membolehkan seorang menteri menggaji lapan orang.


Sebelum ini, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata Pempena walaupun dilanda kontroversi akan meneruskan urusannya dan operasi seterusnya akan bergantung pada hasil siasatan SPRM.


Ng berkata tidak ada sebab bagi Pempena menutup urusannya kerana ia sedang mengutip balik hutang dari beberapa syarikat.


Pempena telah mengemukakan sembilan aduan kepada SPRM dan polis pada 2008 dan tahun lalu mengenai penyelewengan pelaburan dan usaha sama yang telah dibuat dengan beberapa syarikat; setelah hal ini didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008.


SPRM yang menyerbu Kementerian Pelancongan akhir tahun 2008 berkata pemeriksaan pihaknya dijalankan bagi mengesan sebarang bukti berkaitan pengagihan kontrak dan projek kepada perwakilan Umno.


Umno mengadakan pemilihan pada 2008 tetapi ia ditangguhkan ke Mac 2009.


“Pemeriksaan juga dilakukan untuk memastikan sama ada kontrak dan projek itu diberikan kepada individu terbabit dengan syarat mereka ‘menaja’ untuk jentera parti menjelang pemilihan akhir bulan ini,” kata kenyataan SPRM ketika itu.

No comments:

Post a Comment