Thursday, August 12, 2010

PAS kaya raya ?



















ALOR SETAR, 13 Ogos: Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamudden Md Taib (gambar) secara sinis menyifatkan PAS adalah sebuah parti yang kaya raya sehingga mampu membiayai pelajar di luar negara dengan perbelanjaan puluhan juta ringgit.

Sehubungan itu, beliau menyangkal dakwaan Umno yang menyifatkan PAS membiayai jutaan ringgit bagi pelajar Malaysia yang berada di luar negara termasuk Mesir bagi melahirkan pemimpin pembangkang.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Biro Umno Luar Negara, Datuk Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini yang mendakwa PAS sanggup untuk menghabiskan puluhan juta ringgit bagi memastikan kehadiran pemimpin pembangkang di luar negara.

Menurutnya lagi, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan berniat jahat yang bertujuan untuk membangkitkan sentimen kepartian di kalangan pelajar luar negara.

"Tuduhan ini seolah-olah membuktikan pemimpin Umno tidak matang kerana menjadikan pelajar sebagai bahan politik mereka. Sekiranya benar dakwaan tersebut, ia bererti PAS adalah sebuah parti yang kaya raya,” ujarnya yang juga AJK PAS Pusat.

Baginya, adalah tidak menghairankan kerana di mana saja ada pengajian Islam, maka Umno akan membuat tuduhan yang serupa.

Kemungkinan besar, ujarnya itu adalah kerana Umno sendiri tidak ada hubungan dengan Islam.

“Oleh kerana itu apabila adanya program berunsur Islam yang mendapat sambutan, maka ia akan terus dikaitkan dengan PAS," katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah turut menyelar kepimpinan Umno yang disifatkan tidak menyanjungi Islam apabila sanggup membuat kenyataan tidak rasional berkaitan Islam dengan tuduhan liar.

Tambahnya lagi, kenyataan sedemikan juga boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat apabila persepsi negatif terhadap pelajar luar negara terutamanya di Mesir dijadikan sentimen dan isu politik.

Dengan tuduhan tersebut, katanya ia mempamerkan wajah sebenar Umno apabila pemimpin mereka tidak mengagungkan Islam dan sanggup untuk memperkecilkan agama.hrkh

No comments:

Post a Comment