Monday, August 23, 2010
PAS terus bantu rakyat
KAMPAR , 24 Ogos : Penduduk Kampung Tualang Sekah terutama golongan fakir miskin teruja menerima kedatangan rombongan PAS yang menziarahi kesemua 45 penduduk terpilih dari rumah ke rumah bagi mengetahui keadaan sebenar kehidupan mereka.
Naib Ketua Cawangan PAS Tualang Sekah, Abdul Manaf Ismail berkata, pihaknya melakukan ziarah itu bertujuan mendekati penduduk miskin di sekitar daerah berkenaan.
Menurutnya, program itu adalah salah satu cara yang digunakan PAS untuk menyelami sendiri kesusahan penduduk miskin.
“Kita mengambil kesempatan turun padang bersama ahli rombongan PAS agar dapat memahami situasi sebenar mereka di samping melihat sendiri sejauh mana kesusahan yang dialami.
“Kadang-kala umum tidak mengetahui tentang status kehidupan penduduk miskin, apabila ziarah ke rumah barulah kita tahu rupanya-rupanya ada penduduk yang terlantar sakit, tidak boleh bergerak dan sebagainya,” katanya ketika menziarahi 45 penduduk, di sini.
Hadir sama, Ketua Dewan Pemuda PAS Kampar, Ridzuan Rashid.
Abdul Manaf berkata, rombongan juga mengambil kesempatan menyampaikan bungkusan cenderahati kepada 45 buah rumah di Tualang Sekah yang terlebih dahulu dikumpulkan melalui sumbangan ikhlas ahli PAS termasuk individu tertentu.
“Bungkusan cenderahati beranggaran RM50 setiap satu mengandungi barangan keperluan harian berupa beras, gula, tepung gandum, minyak masak dan barangan lain,” katanya.
Penduduk, Saadiah Abd Rahman, 61, dari Kampung Kota, Tualang Sekah berkata, kehadiran rombongan itu membawa rahmat kepada dirinya dan keluarga selain bersyukur apabila terpilih antara 45 penduduk yang telah dikenal pasti sebagai penduduk bertuah.
“Terima kasih atas rombongan yang sanggup menziarahi saya di rumah sempena bulan puasa sambil bertanya khabar untuk mengetahui keadaan isi rumah,” katanya.
Saadiah bagaimanapun, turut menerima sumbangan sekampit beras, sekilo gula serta barangan keperluan lain termasuk minyak masak, tepung, dan barangan lain dalam kunjungan itu.
Sebelum ini, rombongan yang sama terlebih dahulu melakukan kunjungan serupa di Kampung Gunung Panjang kepada 17 keluarga miskin yang telah dikenal pasti dan dikategorikan dalam golongan miskin tegar.
Penganjuran yang diketuai oleh Pemuda PAS Cawangan Tualang Sekah, itu disertai 20 sukarelawan yang terdiri daripada Dewan Muslimat PAS Kawasan Kampar, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kampar dan Pimpinan PAS Kawasan Kampar.SH
No comments:
Post a Comment