Wednesday, August 11, 2010

Ucapan salam Ramadhan dari Ahli Parlimen Parit Buntar



PARIT BUNTAR, 11 Ogos : Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam di kawasan Parit Buntar dan di seluruh negara.

"Sempena menyambut bulan yang penuh barakah ini marilah sama-sama kita memperbanyakkan ibadah kepada Allah dengan berpuasa, bertarawih, bertadarus, berqiyamullail, bersedekah dan banyak lagi amalan-amalan yang boleh memperoleh pahala yang besar di bulan Ramadhan."

"Ambillah ruang dan peluang di dalam bulan ini untuk beriftar bersama keluarga, rapatkan hubungan kekeluargaan yang selama ini mungkin kita kurang memberi perhatian kepada anak-anak, didiklah mereka, ajaklah mereka bersama untuk bertarawih dan bertadarus secara berjemaah dan inilah masanya untuk kita memberi perhatian terhadap mereka tentang betapa hebatnya pahala di bulan Ramadhan."

"Saya juga menyeru kepada masyarakat di Parit Buntar supaya tidak melakukan pembaziran semasa membeli juadah berbuka puasa. Sememangnya kita mempunyai rasa keinginan untuk membeli pelbagai juadah berbuka puasa, akan tetapi berpada-padalah dalam urusan membeli, kerana selalunya ia akan berlaku pembaziran."

"Disamping kita berpuasa, sudah pasti kita akan bersiap sedia untuk menyambut Aidilfitri. Oleh itu banyaklah persiapan seperti kuih muih, baju raya dan banyak lagi menjadi pilihan. Namun begitu, janganlah kita lupa pada mereka yang memerlukan seperti fakir miskin dan anak-anak yatim. Mereka juga ingin berkongsi meraikan Aidilfitri. Justeru saya juga menyeru perbanyakkanlah sedekah di bulan ini, nescaya Allah akan melipatgandakan rezeki yang kita perolehi pada masa hadapan."

No comments:

Post a Comment