Monday, August 23, 2010

Umno, MCA main wayang perkauman


SHAH ALAM, 24 Ogos : Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shaharin mengingatkan rakyat tidak akan mudah terpedaya dengan strategi dan tindak tanduk pihak tertentu yang menggunakan isu perkauman untuk mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

Taktik yang sama katanya digunakan kerajaan Perikatan semasa peristiwa berdarah 13 Mei 1969 dan Operasi Lalang pada 1987 yang menyaksikan penangkapan puluhan pemimpin pembangkang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Pertama sekali pada 1969 kenapa sentimen kaum dibakar? Kerana pada masa itu parti pemerintah telah hilang sokongan. Pada 1987 Umno hilang tumpuan apabila berpecah dengan Semangat 46. Sandiwara ditunjukkan pemimpin Umno seperti Najib Razak dan pemimpin MCA Lee Kim Sai yang cuba membakar api perkauman. Pembangkang pada masa itu telah memberikan respon secara tidak tersusun yang akhirnya mengakibatkan pemimpin progresif (pembangkang) ditangkap," katanya kepada Suara Keadilan.

Badrul aka CheGuBard demikian ketika diminta mengulas insiden surau Taman Pulai Impian, Temiang di Seremban yang disimbah dengan cat merah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab Ahad lalu.

Kejadian terhadap rumah ibadat ini merupakan pertama kali berlaku selepas isu penggunaan kalimah Allah yang dimainkan Umno sejak awal tahun ini yang menyebabkan beberapa rumah ibadah, termasuk gereja dan surau dibakar.

Bagaimanapun CheGuBard berkata berbanding 1987 rakyat kini lebih bijak menilai taktik dan strategi yang digunakan Umno-BN untuk menimbulkan keresahan dikalangan rakyat negara ini.

"Rakyat telah cerdik dan matang untuk menilai peristiwa ini. Dalam kes bakar rumah ibadat sebelum ini, Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti alternatif menyatakan pendirian yang tegas dan kita telah berjaya tangani isu ini dengan sempurna. Kita kutuk kejadian seperti ini, jangankan kata bakar surau, malah bakar kuil pun tidak boleh terima kerana ini adalah rumah ibadat.

"Siapa yang untung daripada kejadian tersebut, sudah tentulah parti yang bersifat perkauman seperti Umno-BN dan bukan parti politik yang merentasi sempadan ras perkauman dan agama seperti Pakatan Rakyat," ujar beliau.

Beliau berharap pemimpin Pakatan Rakyat tidak melayani sebarang provokasi bagi mengelakkan mereka masuk dalam perangkap Umno-BN.

"Kita minta supaya pemimpin Pakatan Rakyat jangan layan. Kita mahu polis ambil tanggungjawab penuh siasat kejadian ini. Isu yang lebih penting pada masa ini ialah kesusahan hidup rakyat, kos hidup yang meningkat dan sebagainya," tegas CheGuBard.

Kes simbah cat di surau tersebut mengesahkan pandangan sesetengah pihak terdapat usaha ke arah 'menjayakan' semula Operasi Lalang dengan membangkitkan api perkauman di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Ini jelas dilihat daripada isu dakwaan penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat di negeri itu bagi menggantikan nama Yang DiPertuan Agong dengan tujuan membangkitkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat Islam dan Melayu.

Ini ditambah dengan tindakan dua pengetua di sekolah menengah di Kulai, Johor dan Bukit Selambau, Kedah yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap pelajar Cina dan India.

Umno juga mempermainkan isu kuota 30 peratus ekuiti Bumiputera selepas memutar belitkan kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengenai diskaun pemilikan rumah mewah yang dinikmati golongan kaya Bumiputera.

MCA pula menuntut Majlis Perundingan Melayu diheret ke mahkamah kerana membuat hasutan untuk membubarkan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

No comments:

Post a Comment