Sunday, August 29, 2010
Usaha murni Teo Nie Ching dipuji
SUNGAI BAKAP , 30 Ogos : Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memohon isu Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang memasuki ruang solat di Surau Al-Huda, Kajang Sentral usah dipolitikkan.
Guan Eng berkata, usaha murni yang ditonjolkan oleh Nie Ching yang segera memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah seharusnya dipuji kerana beliau menunjukkan inisiatif yang baik tanpa disuruh oleh sesiapa.
“Ini menunjukkan beliau dan DAP menghormati institusi raja Melayu apabila mendapat tahu raja berasa kurang senang hati dengan tindakannya.
“Kita biarlah perkara ini diselesaikan oleh ulama dan kita tidak mahu masuk campur kerana sebagai seorang bukan Islam, kita juga tidak mahu cakap boleh atau tidak terhadap tindakan beliau. Biarlah ulama yang menjawab akan persoalan ini,” katanya.
Menurutnya, Ahli Parlimen Serdang itu tidak berniat jahat tetapi hanya mahu mengeratkan silaturahim antara kariah tetapi malangnya ia dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Saya melihat beliau tidaklah berpakaian menyolok mata. Mengapa isteri-isteri pemimpin Barisan Nasional yang kadang-kadang berpakaian lebih menonjol lagi, tidak menjadi isu besar sungguhpun mereka ini adalah orang Islam?
“Adalah jelas perkara ini telah dipolitikkan dan saya berharap ia tidak dipanjangkan dan seharusnya kita lebih menumpukan perhatian terhadap isu yang sebenarnya seperti skandal rasuah yang melibatkan kehilangan saham bumi orang Melayu,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Pengurusan Jenazah atau Kematian dan Sumbangan Wang Penghargaan Warga Emas dekat sini, semalam.
Pada majlis berkenaan, seramai 57 waris yang kematian keluarga dan warga emas di seluruh Seberang Perai Selatan menerima sumbangan masing-masing RM1,000 dan RM100.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Makhtar Shapee, ADUN Jawi, Tan Beng Huat dan ADUN Bukit Tambun, Law Choo Kiang.SH
No comments:
Post a Comment