Friday, September 3, 2010
Badan sukarela pastikan pemilihan PKR bersih
SHAH ALAM , 4 Sept. : Badan sukarela Mydemocracy Watch diwujudkan oleh ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas inisiatif mahu pemilihan parti November ini benar-benar bersih serta anggotanya tidak terpilih untuk bertanding.
Penyelarasnya, Yusmadi Yusoff berkata, keputusan pucuk pimpinan yang mahu anggota badan sukarela ini terdiri dari mereka yang tidak bertanding adalah satu keputusan tepat kerana parti tidak mahu ada sebarang pihak mempengaruhi pemantauan, aduan dan penyiasatan yang dijalankan.
Menurutnya, tugas utama badan sukarela tersebut adalah membendung ‘cakap-cakap kedai kopi’ sebelum ianya melarat menjadi fitnah selain tidak menggunakan wang dan memanipulasi nama Penasihat, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
“Saya menjadi penyelaras Mydemocracy Watch kerana nama saya belum terpilih atau dicalonkan untuk mana-mana jawatan, jika nama saya terlibat, secara automatik saya akan menarik diri dari menjadi penyelaras badan sukarela ini
:“Setakat ini kita mendapat maklum balas yang amat baik sekali, ini adalah satu usaha menghalang mana-mana pihak yang mahu salah guna kuasa selain meratakan padang permainan antara semua pihak,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian,: semalam.
Ditanya sama ada badan sukarela ini akan bekerjasama dengan pihak polis mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Yusmadi menjelaskan badan ini tidak akan mengambil tindakan sejauh itu kerana PKR masih mempunyai saluran seperti melaporkan ke Lembaga Disiplin Parti untuk tindakan selanjutnya.
“Apa yang penting, kita akan mengutamakan bukti-bukti yang diberikan, bukannya sekadar tohmahan semata-mata kerana kita ada sistem sokongan yang melengkapi badan pemantau pemilihan sedia ada yang terdiri dari 150 orang,” katanya.
Yusmadi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, pada pemilihan kali ini, Mydemocracy Watch dan badan pemantau pemilihan turut dibantu anggota sukarela yang terdiri dari bloggers, ahli Facebook dan ahli-ahli biasa parti.
“Kita mempunyai ramai sukarelawan kerana kita mempunyai satu matlamat sahaja iaitu mahu menyelamatkan parti PKR daripada terjebak dalam unsur-unsur negatif seperti yang dialami oleh parti-parti lain, kita perlukan sukarelawan yang ramai kerana kita ada lebih dari 200 cabang seluruh negara,” katanya.SH
No comments:
Post a Comment