ALOR SETAR, 19 Sept: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak meminta Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid meneliti laporan audit negara bagi mendapatkan bukti peningkatan hasil negeri 205 peratus seperti yang dikehendakinya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media ketika meraikan puluhan ribu pengunjung berbilang bangsa ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, petang semalam.
Kelmarin, bekas Pengerusi Perhubungan Umno Kedah yang digugurkan itu meminta kerajaan negeri memberikan penjelasan mengenai dakwaan terdapat peningkatan mendadak hasil negeri 205 peratus tetapi tiada sebarang pembangunan yang dilaksanakan di negeri itu.
Menurut Azizan, laporan audit tersebut secara jelas menunjukkan peningkatan hasil negeri yang amat ketara selepas Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran dari Barisan Nasional (BN) yang diterajui Mahdzir.
"Laporan audit negara dibentangkan di dalam parlimen, kalau dia nak pertikai, bermakna dia tak yakin dengan apa yang dibahaskan di parlimen.
"Pembalakan menyumbang kepada peningkatan hasil yang amat ketara, dari RM8 juta setahun menjadi RM38 juta setahun. Budak sekolah pun boleh beza yang mana lebih tinggi di antara kedua-dua angka itu," katanya sinis.
Menurutnya lagi, bidang pertanian masih menjadi penyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah seperti tahun-tahun sebelumnya walaupun tidak mengalami peningkatan yang ketara seperti bidang pembalakan.
No comments:
Post a Comment