Monday, September 27, 2010

Jangan halang peneroka Felda tuntut hak


SHAH ALAM, 27 Sept. : Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman berkata, tindakan membawa kes ke mahkamah adalah hak peneroka, bukannya dipengaruhi mana-mana pihak sebaliknya, satu keperluan supaya mereka tidak terus ditindas Felda yang terbukti memanipulasikan Kadar Perahan Gred (KPG).

"Mereka menuntut hak mereka. Peneroka mengambil pendekatan mahkamah sebagai saluran, jadi apa salahnya? Peneroka sudah menggunakan pendekatan berunding tetapi tidak diendahkan Felda, jadi mereka gunakan kaedah perundangan," katanya kepada TV Selangor.

Bernama hari ini melaporkan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan mendakwa ada pihak menghasut peneroka supaya mengambil tindakan saman di mahkamah berhubung isu Felda memanipulasi isu perahan minyak.

Ahmad juga tidak mahu peneroka menjadikan kes saman Felda Kemahang 3 sebagai rujukan kerana Felda kini lebih bersedia untuk berhadapan dengan kes saman seumpama itu.

Menyelar kenyataan itu, Mazlan berkata, ia secara terang-terangan menunjukkan pendirian Felda dan kerajaan yang tidak mahu mengaku kesilapan mereka sebaliknya cuba menidakkan hak peneroka.

"Apabila Ahmad mengatakan ada dalang atau penghasut, saya fikir dia menidak dan meremehkan keupayaan kira-kira 800,000 anak peneroka di negara ini dalam memperjuang hak mereka.

"Ini lahir dari kesedaran peneroka yang merasakan sudah sampai masanya mereka membawa kes mereka ke peringkat perundangan dan ia bukan sahaja isu kadar perahan tetapi juga isu lain," katanya.

Mazlan juga menganggap Felda sebagai angkuh kerana enggan mengaku kesalahan dalam isu perahan minyak sedangkan hakim mahkamah sudah menyatakan wujud komplot menipu peneroka.

"Adakah kenyataan Ahmad itu sebagai cubaan untuk memaksa supaya kes mahkamah melibatkan Felda, sentiasa berpihak kepada kerajaan," katanya.

No comments:

Post a Comment