Saturday, September 18, 2010
Masih bertahan
IPOH, 18 Sept. : Pemilihan kepimpinan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun ini adalah ujian kematangan pemimpin dan ahli untuk membuktikan sebuah parti masa depan dinamik yang menjadi harapan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Ketua Penerangan Keadilan Negeri, Zulkifly Ibrahim berkata, sejak 10 tahun lalu ternyata PKR mampu menempuh pelbagai masalah melibatkan rakyat, gabungan Pakatan Rakyat (PR), termasuk dalaman parti.
Menurutnya, dalam usia muda parti itu berupaya memberi sumbangan besar kepada politik tanah air sehingga mengetuai bilangan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, Kerajaan Negeri Selangor dan mendapat bilangan kerusi membanggakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.
“Dalam konteks pemilihan parti, walaupun terdapat perpecahan disebabkan kepelbagaian pemimpin dan ahli yang mewakili badan bukan kerajaan, bekas UMNO dan reformis, namun realitinya PKR masih bertahan dan digeruni banyak pihak termasuk UMNO.
“Sebagaimana disepakati ahli parti dalam Kongres Khas parti untuk menjadikan PKR sebuah parti mengamalkan demokrasi, sudah tentu kita hendak melihat sejauh mana demokrasi dalam parti benar-benar diterjemahkan,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Zulkifly berkata, PKR adalah sebuah parti yang menginginkan satu budaya wujud dalam politik tanah air dengan slogan politik baru, budaya baru dapat direalisasikan.
Katanya, iklim pemilihan yang sedang berlangsung ini diharapkan benar-benar terbuka kepada calon yang layak, tidak timbul persoalan perpecahan dalam parti.
“Pemilihan kali ini asas penilaian terhadap calon kepimpinan adalah mereka yang setia dan berada dalam parti sejak ditubuhkan serta calon dari golongan muda hendaklah dipertimbangkan, di samping melaksanakan tanggungjawab terhadap tugasan diberikan oleh parti dengan cemerlang.
“Sebagai parti mengamalkan politik baru budaya baru, penggunaan politik wang oleh calon hendaklah ditolak, perbuatan caci dan menabur fitnah terhadap pesaing yang dilakukan oleh calon bertanding tidak sesuai berada dalam kepimpinan parti,” katanya.
Ditanya mengenai desakan dan permintaan Majlis Pimpinan Negeri Perak terhadap Pengerusi MPN Perak untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, beliau berkata, Mustafa Kamil Ayub layak menduduki jawatan tersebut.
“Beliau seorang pemimpin yang pernah berada dalam kepimpinan utama parti seperti Pemangku Pemuda Keadilan Nasional, pernah menjadi Setiausaha Agung Parti, mengetuai beberapa biro penting parti seperti biro latihan, biro antarabangsa dan sekarang sebagai Naib Presiden Parti.
“Sebagai pemimpin dari Perak, sudah tentu Kepimpinan Negeri Perak mendukung Mustafa Kamil untuk jawatan Timbalan Presiden dan saya menggesa semua cabang dalam Perak dapat mencalonkannya sebagai Timbalan Presiden parti bagi pemilihan bermula minggu ini,” katanya.SH
No comments:
Post a Comment