Saturday, September 18, 2010
MDK bebankan penduduk
PARIT BUNTAR, 18 Sept. : Penduduk di Kampung Kedah Parit Buntar di sini, yang menerima notis daripada Majlis Daerah Kerian (MDK) meminta supaya tuan tanah membersihkan kampung agar kelihatan bersih dari semak samun memohon agar pihak berkenaan berlaku adil.
Ketua Penerangan PAS Parit Buntar, Fakhrurrazi Khalid berkata, tindakan MDK mengeluarkan notis kepada tuan tanah di Kampung Kedah di lihat sebagai tidak adil dan “double standard”.
Menurutnya, sekiranya tidak dilakukan pembersihan dalam tempoh 14 hari dari surat dikeluarkan tindakan akan diambil iaitu denda tidak lebih dari RM1000 atau penjara tidak lebih dari 6 bulan atau kedua-duanya sekali dan tambahan denda sebanyak RM100 sehari.
“Tindakan MDK membebankan penduduk, mengutip wang rakyat dengan cara mudah bagi menambah dana dengan cara menguatkuasakan Undang-undang Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya.
Fakhrurrazi berkata, MDK perlu peka kerana untuk membersihkan kawasan itu memerlukan sejumlah wang yang besar.
“Walaupun dibersihkan, kawasan ini tetap tidak boleh dimajukan kerana ia adalah kawasannya berpaya.
“Saliran air juga tersumbat dan airnya tidak mengalir disebabkan Taman Kerian Permai ditambak tinggi dan keadaan longkangnya berada di atas jalan kampung,” katanya.
Katanya, apabila hujan lebat melanda air akan mengalir masuk ke kampung dan bukan ke sungai.
Beliau berkata, sepatutnya MDK membuat pemantauan terlebih dahulu terhadap kawasan itu yang sering menghadapi masalah banjir.
Sementara itu katanya, sebelum ini, bekas Ahli Majlis 2009 pernah membawa perkara itu ke dalam Mesyuarat Tindakan Daerah tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
“Sistem perparitan yang ada sekarang ini amat menyedihkan dan teruk disebabkan laluan tersumbat.
“Sepanjang jalan kampung ini hanya terdapat satu parit yang berfungsi untuk ke Taman Kerian Permai dan saliran ini sepatutnya terus mengalir ke sungai Kerian,” katanya.
Beliau berkata, sebelum mengeluarkan arahan, MDK hendaklah memberi keutamaan dalam mengemas kini sistem perparitan sedia ada terutamanya di taman-taman khususnya di Pusat Bandar Parit Buntar.
“Pihak berkenaan perlu melihat sendiri longkang utama di Pusat Bandar yang menakung air sehingga mengeluarkan bau kurang menyenangkan. Malahan ianya menjadi punca pembiakan nyamuk.
“Ada beberapa kes denggi berlaku di Pekan Baru Parit Buntar yang cuba disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu. Banyak rungutan dari penduduk sekitar Parit Buntar di bawah penguasaan MDK yang belum diselesaikan,” katanya.SH
No comments:
Post a Comment