Wednesday, September 1, 2010
Mohd Rafizi umum tanding ketua AMK
PETALING JAYA, 1 Sept. : Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Mohd Rafizi Ramli yang mengumumkan bertanding jawatan ketua AMK turut menamakan regunya dalam pemilihan akhir tahun ini.
Mereka ialah Adun Batu Caves Amirudin Shaari akan bertanding jawatan timbalan ketua AMK, manakala Sim Tze Tzin (Adun Pantai Jerjak), S Kesavan (Hutan Melintang)akan bertanding naib ketua AMK.
Manakala Adun Teja, Chang Lih Kang bersama Halimey Abu Bakar, MA Tinagaran, Saifullah Zulkifli dan Jafery Jomion akan bertanding jawatan exco.
Mohd Rafizi mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau menggelar pasukannya itu barisan Generasi Reformasi menggabungkan pelbagai kumpulan berbeza atas semangat reformasi.
Dua calon lain yang disebut-sebut bertanding Ketua AMK ialah Shamsul Iskandar Md Akin dan seorang lagi anggota MPP Badrul Hisham Shaharim, bagaimanapun belum ada pengumuman rasmi.
Mohd Rafizi berkata, generasi reformasi beberapa asas yang perlu diperkukuhkan oleh AMK.
Katanya, ia termasuk membawa pendekatan baru untuk mempelbagaikan isu orang muda yang diangkat ke peringkat nasional.
"Memperkukuhkan organisasi peringkat akar umbi dengan memastikan persediaan kewangan yang memuaskan dan urus tadbir akar umbi yang baik.
"Tumpuan khusus kepada latihan kepimpinan dengan memberi ruang yang seluasnya kepad pemimpin bawah 30 tahun sebagai persediaan masa depan," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Mohd Rafizi, selain ahli MPP, beliau juga bendahari PKR Terengganu dan kini ketua eksekutif di pejabat penasihat ekonomi Selangor.
Mohd Rafizi berkata, gerakan reformasi yang tercetus pada 1998 membuka lembaran baru apabila berjaya menggabungkan kumpulan yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama.
Gerakan reformasi ini, katanya mewakili suara anak Malaysia yang mahukan perubahan dinamik secara berterusan demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, dalam pilihanraya umum lalu adalah kesinambungan kepa perjuangan generasi reformasi.
Walaupun isu pokok yang menjadi teras perjuangan tetap sama, pelbagai isu baru juga timbul dan perlukan pembelaan sewajarnya, katanya.
"Isu yang diperjuangkan perlu melambangkan aspirasi majoriti 4.6 juta pengundi baru yang mempunyai citarasa yang berbeza.
"Pendekatan yang digunakan juga perlu dipelbagaikan untuk menarik minat sebahagian besar anak muda yang pada ketika ini tidak berminat dengan politik," katanya.
"Berdasarkan misi in, saya dan rakan-rakan yang lahir dari semangat kebersamaan dan kepelbagaian hasil gerakan reformasi ingin menawarkan diri untuk menyuntik dinamisme itu dalam AMK, ebagai persediaan menghadapai pilihan raya umum ke-13," katanya.
No comments:
Post a Comment