SHAH ALAM, 12 Sept. : Puluhan ribu pengunjung hadir ke rumah terbuka Aidilfitri kerajaan Negeri Selangor 2010 kelmarin yang berlangsung dalam keadaan amat meriah dengan berbagai juadah makanan disediakan.
Penuh sesak ruang luas di I-City, Seksyen 7, tempat berlangsungnya majlis yang mempertemu dan merayakan hari kebesaran Agama Islam itu yang turut dirai dan dihargai oleh semua pihak meskipun mereka penganut fahaman agama berbeza.
Pengunjung dari segenap lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik, budaya dan tahap pendidikan mereka sama-sama ceria dan bergembira menyambut hari lebaran mulia selepas sebulan umat Islam melakukan ibadat puasa.
Sebagai tuan rumah utama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sentiasa tersenyum, mudah didampingi, bersalaman mesra dan menunaikan hasrat mereka yang ingin bergambar kenangan bersama pimpinan negeri kesayangan semua.
Begitu juga dengan penglibatan semua Exco Kerajaan Negeri yang menyambut kehadiran pengunjung yang datang sejak awal meski majlis hanya bermula jam 3 petang bagi mengelakkan kesesakan.
Kanak-kanak kecil, Orang Kelainan Upaya (OKU), orang miskin, golongan usia emas dan anak yatim dan mereka yang kurang bernasib baik merupakan kalangan paling bergembira kerana mereka mendapat layanan lebih istimewa dengan hadiah sampul yang berisi wang tunai.
Kelihatan badan berkanun bawah Kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melakukan persiapan rapi dalam banyak hal sehingga menyerlahkan lagi kemeriahan hari terbuka kali ini.
Majlis berjalan dalam suasana santai dan gelak ketawa dengan persembahan artis-artis terkenal seperti Jamal Abdillah dan ramai lagi dengan gandingan dua juruacara personaliti diminati ramai, Salleh Yaakob dan Raja Azura.
Meski jam 7 petang sepatutnya majlis tamat namun orang ramai berpusu-pusu ekoran penyediaan terbaik pihak penganjur dengan kerjasama semua pihak berkaitan.hrkh
No comments:
Post a Comment