Sunday, October 3, 2010

DAP tutup mulut elak manipulasi media UBN


IPOH, 3 Okt . : Pemimpin-pemimpin DAP Perak mencapai persetujuan awal untuk mengambil pendirian menutup mulut berhubung krisis kepimpinan sementara menanti kepulangan timbalan pengerusi negeri, M. Kulasegaran yang kini berehat di Nepal. Kulasegaran dijangka pulang selepas seminggu.

Dalam kenyataan bersama pagi ini, Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham dan naibnya A. Sivanesan menekankan bahawa pergolakan kepimpinan negeri harus diselesaikan secara dalaman.

Kedua-dua mereka mendakwa keputusan itu dilontarkan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika perbincangan dengan Ngeh.

“Lim, yang berada di luar negara kerana lawatan rasmi, bercakap dengan Ngeh sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (semalam).

“Kami bersetuju dengan saranan Lim bahawa perkara-perkara berkaitan dengan DAP Perak seharusnya ditangani secara dalaman,” kata kedua-dua mereka dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

“Oleh itu, kami tidak akan membuat sebarang kenyataan terbuka atau menjawab persoalan media mengenai isu ini,” kata Ngeh dan Sivanesan dalam kenyataan itu.

Mereka menambah bahawa pemimpin-pemimpin parti seharusnya menunggu kepulangan Kulasegaran dari Nepal sebelum membuat keputusan lanjut.

“Kami juga akan menunggu Lim memanggil satu mesyuarat, yang akan turut dihadiri (Penasihat DAP) Lim Kit Siang,” kata kedua-dua pemimpin itu.

Kulasegaran, Ahli Parlimen Ipoh Barat kini sedang mempertimbangkan semula ugutannya mahu melepaskan jawatan dalam DAP Perak ekoran permintaan rakan dan penyokongnya.

Kulasegaran membatalkan sidang media — yang dijadualkan pagi semalam untuk mendedahkan perkara-perkara yang membawa kepada keputusan mahu meninggalkan kepimpinan negeri parti.

“Ahli-ahli dan penyokong meminta saya mempertimbangkan semula pendirian saya ini. Saya akan berada (di luar negara) selama seminggu dan akan saya memaklumkan jika ada keperluan,” tambah Kulasegaran.

Pemimpin veteran ini, yang dilihat sebagai musuh ketat kepada dua sepupu dalam DAP Perak — Ngeh dan setiausaha Nga Kor Ming — kelihatan keluar daripada mesyuarat khas malam kelmarin susulan pertempuran mulut dengan kedua-dua mereka.

Menurut seorang ahli jawatankuasa yang menghadiri mesyuarat malam tadi, pertemuan itu dipanggil sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyatukan kedua-dua kumpulan Kulasegaran dan “Ngeh-Nga” yang bertelagah.

“Tetapi perbincangan perpaduan yang didakwa hanya cakap-cakap saja. Mereka (Ngeh-Nga) tidak pernah berpegang pada apa yang mereka cakap, janji-janji mereka,” katanya lagi.

Pemimpin itu menambah, perbincangan perpaduan tersebut yang digerakkan oleh pemimpin kedua-dua kumpulan bertujuan memastikan konvensyen dan pemilihan yang dijadual bulan depan berlangsung dengan lancar.

“Ada satu bentuk perjanjian agar kedua-dua pihak tidak cuba untuk menghabiskan satu sama lain... tetapi mereka (Ngeh-Nga) terus-menerus memburuk-burukkan kami (puak Kulasegaran),” kata pemimpin itu.

Masalah antara Kulasegaran dan kedua-dua sepupu berkenaan bukan sesuatu yang baru, sebaliknya berterusan lama.

No comments:

Post a Comment