Thursday, October 7, 2010

Orang luar PKR punca kecoh


PETALING JAYA, 7 Okt. : Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengenal pasti individu-individu yang telah menimbulkan kekacauan pada mesyuarat agung tahunan beberapa cabang parti itu baru-baru ini.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, berdasarkan penelitian melalui rakaman video, pihaknya mengenal pasti individu-individu yang terlibat bukan ahli parti itu tetapi mempunyai hubungan dengan Barisan Nasional (BN).


Menurutnya, antara yang dikenalpasti ialah Abdul Razak Halidi yang dianggap orang luar yang menimbulkan kekecohan di pemilihan peringkat cabang Kuala langat.

“Individu yang terlibat bukan ahli parti. Kekecohan yang berlaku di Kuala Langat dicetuskan bekas ahli Keadilan yang menyertai UMNO dan kemudiannya telah keluar PKR pada 2007 mungkin untuk menyertai UMNO semula.

"Selepas itu, saya tidak tahu. Namun dia ada memohon (menyertai PKR) tetapi ditolak," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, semalam.

Beliau berkata, laporan polis berhubung perkara itu juga telah dibuat oleh peringkat cabang bagaimanapun PKR tiada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

Saifuddin berkata, kejadian di Klang dan Sabak Bernam melibatkan individu yang melakukan kerosakan dan serangan terhadap kotak-kotak undi juga dikenal pasti sebagai bukan ahli parti.

“Kita telah menyemak semakan daftar keanggotan ahli parti dan menunjukkan mereka bukan ahli PKR. Perkara itu turut dikenal pasti dilakukan oleh bukan ahli pada mesyuarat di Kapar,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mendedahkan identiti individu berkenaan

Katanya, aduan polis turut dibuat ke atas individu yang bukan ahli parti oleh pimpinan cabang mahupun pengawas yang bertugas.

Sementara itu, Saifuddin turut memohon maaf kepada wakil media dari Sinar Harian dan Kosmo yang telah dikasari oleh petugas parti itu di Sabak Bernam baru-baru ini.

Beliau berkata, PKR memandang serius terhadap perkara itu terutamanya yang bersifat kekasaran terhadap pengawas dan petugas pemilihan serta wakil media yang hadir membuat liputan.

No comments:

Post a Comment