SHAH ALAM, 5 Okt: Kerajaan negeri Selangor sedang menyusun semula pusat-pusat hiburan di negeri itu agar ia tidak disalahgunakan untuk menjadi tempat maksiat khasnya perjudian dan pelacuran.
Antaranya adalah dengan membuat rekabentuk (design) semula tempat-tempat itu agar ia lebih terbuka dan bakal diletakkan kamera litar tertutup (CCTV) untuk merakam semua kegiatan dan pengunjung ke pusat-pusat itu.
"Kita sukar untuk menutupnya tetapi kita akan kawal dia agar tidak disalahgunakan untuk kegiatan yang tidak baik," kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam wawancara khas dengan Harakahdaily, Harakah dan Siasah di pejabatnya petang semalam.
Beliau mengulas serangan bertubi-tubi dari Umno dan umat Islam berikutan pertambahan yang ketara pusat-pusat hiburan dan kesihatan yang disalahgunakan dengan menjadikannya pusat perjudian dan pelacuran serta kegiatan tidak sihat yang lain.
"Kita mahu lihat juga sebenarnya apa yang boleh dibuat oleh kerajaan BN dalam menghadapi gejala ini dan kita akan ikut. Misalnya apa yang kerajaan Negeri Sembilan dan Perak boleh buat di tempat masing-masing.
"Namun mereka tak buat apa-apa juga. Kita sendiri telah berbincang dengan beberapa universiti untuk merekabentuk semula tempat ini agar lebih transparen. Bila begitu, kita harap kegiatan yang tidak baik tidak akan berlaku.
"Bila kita siap, kita akan pastikan semua operator pusat-pusat sebegini mematuhi peraturan yang kita tetapkan. Jika tidak lesen tidak akan dikeluarkan dan tindakan boleh kita ambil," katanya.
Khalid mengaku, agak sukar untuk membanteras pusat-pusat sebegini begitu sahaja kerana ia bergantung kepada permintaan.
"Kalau orang ramai datang, permintaan tinggi, ia akan bertambahlah," kata Khalid.
Beliau juga tidak mahu menyalahkan polis atau pihak-pihak berkuasa lain kerana tidak bertindak ke atas pusat-pusat sebegini.
"Kita tahu bilangan polis kita amat terhad. Tak mampu mereka mengejarnya. Jadi kita kena ada inovasi dalam menghadapi perkara ini. Sebab itu bagi saya, kita kena design semula dan kawal dari situ.
"Kalau kita hanya tutup sahaja, yang haram pula akan tumbuh macam cendawan, lagi susah untuk dikawal," kata Khalid.
Sebelum ini, exco beliau, Ronnie Liu dalam wawancaranya dengan Harakahdaily mendakwa polis dan imigresen labih berkuasa untuk bertindak ke atas pusat-pusat hiburan dan kesihatan yang disalahgunakan di negeri itu kerana bidang kuasanya lebih luas berbanding dengan kerajaan tempatan di bawah kerajaan negeri.
Dalam wawancara kali ini, Khalid berharap, melalui rakaman CCTV untuk semua pusat ini akan mencegah orang-orang yang ada maruah untuk datang ke tempat sebegitu.
Ketika ditanya bila ia akan dilaksanakan, Khalid berkata, ia berada di peringkat kajian dan bila ianya selesai, kerajaan negeri Selangor akan melaksanakannya segera.
No comments:
Post a Comment