PARIT BUNTAR, 13 Okt. : PAS Kawasan Parit Buntar menyokong cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang memohon dua bulan bonus kepada kakitangan awam di dalam bajet 2011 kerajaan yang akan dibentangkan Oktober ini.
Penolong Setiausaha PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman berkata, kakitangan awam patut diberikan bonus dua bulan memandangkan sudah hampir dua tahun tidak mendapat bonus .
“ Pemberian bonus itu adalah wajar untuk meningkatkan kebajikan kakitangan awam supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan produktif.
“ Perkembangan ekonomi dan pelbagai projek mega yang telah dilaksanakan oleh kerajaan adalah signal bahawa pemberian bonus tidak akan menjadi halangan bagi tahun ini” katanya yang dihubungi semalam.
Adnan berkata, kerajaan harus mempertimbangkan permohonan ini berdasarkan produktiviti dan prestasi kerja kakitangan awam yang baik.
“ Tindakan Cuepacs yang meminta bonus dua bulan membabitkan kakitangan dan pesara perkhidmatan awam adalah mewakili seluruh kakitangan awam di Malaysia.
“ Kakitangan awam terutama yang berpendapatan rendah amat memerlukan pemberian bonus ini sebagai persiapan menghadapi musim persekolahan tahun 2011” katanya
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khlaid pula menyokong tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang meminta kerajaan membuat penetapan gaji minimum RM900 sebulan dalam semua bidang pekerjaan semasa membentangkan bajet 2011.
“ Selain pemberian bonus kepada kakitangan awam, penetapan gaji minimum ini itu akan memberi kesan besar kepada kebajikan rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah.
“ Masih ada pekerja memperoleh kadar upah tidak munasabah serendah RM300 atau RM400 sebulan, termasuk dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan” katanya yang dihubungi semalam.
Fakhrurrazi melihat rasional tuntutan gaji minimum oleh MTUC ini berdasarkan kos sara hidup yang semakin meningkat dan menyukarkan pekerja menyara keluarga dengan gaji di bawah paras kemiskinan.
“Pekerja berpendapatan rendah ini menghadapi kesulitan untuk memenuhi keperluan hidup mereka terutamanya di kawasan bandar. Penetapan gaji minimum sekurang-kurangnya akan dapat mengurangkan permasalahan ini.
“Pembentangan Bajet 2011 diharap tidak membebankan atau memberi implikasi negatif kepada rakyat yang banyak menyumbang kepada kerajaan pada waktu susah dan senang” katanya.
No comments:
Post a Comment