Friday, November 12, 2010

Demontrasi jalan berkesan tuntut pilihanraya adil

PARIT BUNTAR, 12 Nov. : Dewan Pemuda PAS Parit Buntar menyokong saranan Dewan Pemuda PAS Pusat supaya parti politik mengambil alih peranan menganjurkan demonstrasi setelah BERSIH 2.0 tidak lagi berhasrat mengadakan demontrasi.

Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman berkata, demontrasi masih merupakan jalan yang berkesan bagi menyampaikan tuntutan terhadap pilihan raya yang bersih dan adil.


“ Kita menghormati hasrat BERSIH 2.0 untuk tidak lagi turun ke jalanan bagi mencapai matlamatnya.

“ Namun selalunya, SPR tidak melayan banyak tuntutan untuk melaksanakan pilihanraya adil dan telus. Himpunan rakyat di jalan raya adalah jalan terbaik jika SPR tidak melayan tuntutan rakyat” katanya

Adnan berkata, SPR masih belum memenuhi tiga tuntutan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) yang lalu.

“ BERSIH telah menuntut pembersihan daftar pemilih, pemansuhan undi Pos dan penggunaan dakwat kekal.

“ SPR bukan sahaja tidak memenuhi tuntutan BERSIH, malah SPR bertindak menambah jumlah pengundi pos dengan menukarkan status pengundi awam isteri anggota keselamatan kepada pengundi pos” katanya

Menurutnya, tindakan SPR ini dilakukan tanpa kerelaan isteri anggota keselamatan terlibat.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar Hairul Nizam Ishak mencadangkan PAS mengetuai gerakan menuntut pilihanraya bersih dan adil yang melibatkan parti politik.

“ PAS mempunyai banyak pengalaman mengetuai dan menghimpunkan rakyat menuntut keadilan.

“ Himpunan 100 ribu BERSIH, himpunan membantah PPSMI dan membantah kenaikan harga minyak adalah bukti peranan aktif PAS mengerakkan rakyat” katanya

Beliau berkata, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu bersama-sama berganding bahu menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

“ Parti politik terutamanya dalam Pakatan Rakyat tidak boleh hanya mengharapkan BERSIH 2.0 menggerakkan usaha menuntut reformasi pilihanraya yang bersih dan adil.
“ Walaupun BERSIH 2.0 menggunakan pendekatan tidak kepartian, Pakatan Rakyat pula menggunakan pendekatan sebagai parti politik. Namun, matlamatnya sama menuntut pilihanraya bersih dan adil” katanya

No comments:

Post a Comment