Monday, November 8, 2010

Dulu kata haram, sekarang minta bagi setiap bulan

GEORGETOWN, 9 Nov: Adun Teluk Bahang, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya mencadangkan supaya kerajaan negeri memberi wang penghargaan warga emas sebanyak RM100 setiap bulan dan bukannya setahun sekali sepertimana yang dilaksanakan kini.

Adun Barisan Nasional (BN) itu juga menyatakan langkah tersebut adalah suatu perkara yang wajar dilaksanakan kerana warga emas sememangnya memerlukan bantuan dan perhatian.

"Apa salahnya sekiranya bantuan RM100 ini diberikan setiap bulan kepada warga emas yang memang benar-benar memerlukannya. Kerajaan negeri wajar memberi bantuan tersebut kepada warga emas yang memerlukan pembelaan sejajar dengan apa yang diwar-warkan selama ini," ujarnya mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, semalam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain ketika dihubungi pula berkata, ini membuktikan Umno Pulau Pinang sememangnya tidak mempunyai pegangan dalam perjuangan mereka.

"Sepatutnya percakapan mereka sebagai pemimpin tidak harus berbelit-belit, sekejap kata wang penghargaan warga emas dari sumber yang haram ,kini kata wang itu patut diberikan setiap bulan pula.

"Mana satu yang mereka perjuangkan. Oleh kerana itu suka saya sarankan kepada kepimpinan Umno di Pulau Pinang supaya bermuhasabah diri sebelum membuat apa-apa tindakan yang akhirnya mencalitkan lumpur ke wajah mereka sendiri," ujarnya lagi.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendakwa wang sumbangan warga emas itu dari sumber yang tidak halal.

Adun Penaga, Datuk Azhar Ibrahim turut mendakwa menerima wang yang dipulangkan bagi kawasan Dun Penaga, kemudian diikuti pula oleh Umno Bayan Baru.

Rentetan itu, Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Norman Zahalan, turut membuat dakwaan yang sama dengan menjalankan usaha mengutip wang yang didakwa dari warga emas untuk dipulangkan kembali kepada kerajaan negeri.hrkh

No comments:

Post a Comment