Akhbar rasmi PAS, Harakahdaily melaporkan Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan, berkata Cheng Ho, yang diberi tugas oleh Maharaja China, juga berjaya membuktikan bahawa Islam bukan sahaja milik Melayu, tapi semua bangsa di dunia.
"Kelantan dengan dasar 'Membangun Bersama Islam', melangkah ke hadapan, melangkaui sempadan bangsa, yang ditiup pihak tertentu, berjaya menganjurkan Ekspo Cheng Ho yang julung kali diadakan di rantau ini.
Bijak pilih pemimpin
"Alhamdulillah, di tengah seruan perkauman yang hebat, ditiup politik bangsa yang melampau, kita bangkit menerobos sempadan dengan mengenengahkan Islam sebgai dasar berpolitik," katanya.
Nik Aziz berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Ekspo Cheng Ho 2010 di Kelantan Trade Centre, di Kota Bharu, semalam.
Menurutnya, dengan penganjuran itu juga, rakyat di negara ini diharap bijak memilih pemimpin dan tidak memilik mereka yang berjuang atas dasar bangsa.
Perjuangan atas nama bangsa katanya, hanya menyubur semangat permusuhan yang tidak akan berkesudahan.
"Kalau memilih tempat mandi, yang pertama teluk, kedua pantai.
"Kalau memilih pemimpin negeri, pertama elok, kedua pandai,” katanya berpantun disambut tepukan hadirin.
Beliau juga turut mengkagumi sikap Cheng Ho yang hanya menjalankan perniagaan dan tidak menjajah kawasan yang dikunjunginya.
"Cheng Ho, dia tak jajah negara yang dia pergi, dia tak kaut harta, dia tak kacau orang, dia hanya berniaga.
"Ini mungkin sebab kefahaman Islam yang ada pada dia," katanya lagi.
Sementara itu, pada sidang akhbarnya, Nik Aziz melahirkan rasa terkilan di atas tindakan beberapa media arus perdana yang tidak membuat liputan berhubung perjalanan program Ekspo Cheng Ho 2010.
Menurutnya, program berkenaan cukup baik dan pertama kali ia diadakan di negara ini, apa lagi di peringkat negeri.
“Namun kerana ia dianjurkan oleh Kerajaan Kelantan, mereka menyembunyikan program berkenaan dalam akhbar mereka kecuali hanya beberapa buah media lain termasuk akhbar berbahasa Cina sahaja.
“Atau mungkin mereka ada sebab lain, saya sendiri tak tahulah, tak mahulah komen lebih-lebih,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu tidak menjadi halangan kepada kerajaan negeri memandangkan ia tetap berjalan dengan lancar, bahkan berjaya melebihi apa yang dijangkakan.
“Cuaca dengan izin Allah bukan sahaja tidak hujan, sebaliknya redup dan agak tidak panas, jadi ia memberi keselesaan pada pengunjung untuk mengikuti program ini termasuk menyaksikan persembahan,” katanya.Malaysiakini
No comments:
Post a Comment