Sunday, November 14, 2010
Ekspo Cheng Ho jadi tumpuan
KOTA BHARU , 14 Nov. : Ekspo Perdagangan Cheng Ho 2010 yang berlangsung di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu pada 21 hingga 26 November ini dijangka mendapat sambutan menggalakkan memandangkan ianya merupakan ekspo terbesar bakal diadakan di negeri ini.
Pengarah Urusan Green Dynasty Management, Mohd Fared Abdul Ghani berkata, pihaknya menjangkakan ekspo yang berlangsung selama enam hari itu dijangka menarik minat ratusan ribu pengunjung dari seluruh pelosok negara ini.
Green Dynasty Management merupakan salah satu rakan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan dalam penganjuran ekspo ini.
“Tujuan ekspo ini dianjurkan ialah untuk merintih hubungan dua hala antara Kelantan dengan negara China yang kini merupakan antara negara kuasa ekonomi dunia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
“Dalam konteks bidang ekonomi, Kelantan mendahului setapak di hadapan apabila menjalinkan kerjasama yang cukup strategi dengan negara China yang boleh dianggap sebagai salah satu negara kuasa ekonomi di dunia pada masa sekarang.
“Sebanyak 412 gerai terlibat dalam ekspo tersebut dan para pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat pelbagai produk serta makanan daripada negara tersebut. Para pedagang dari China akan berkampung selama enam hari di Kota Bharu dan saya percaya inilah peluang terbaik bagi masyarakat negeri ini untuk mendapatkan produk daripada negara tersebut,” katanya.
Mohd Fared berkata, ekspo tersebut menelan belanja sebanyak RM2 juta dan merupakan yang terbesar dianjurkan di negeri Pantai Timur setakat ini.
“Selain daripada itu, kita juga turut mengadakan pameran khazanah selama sebulan di Pusat Perdagangan Kelantan (KTC) sebagai salah satu kesinambungan daripada penganjuran ekspo ini.
“Pelbagai khazanah dari negara China dan Muzium Melaka didatangkan khas ke sini untuk tontonan masyarakat di negeri ini. Selain itu, orang ramai turut berpeluang melihat dengan lebih dekat pelbagai khazanah serta warisan Islam termasuk al-Quran daripada emas yang berusia 600 tahun dan Al-Quran yang terpanjang di dunia yang dijangka menjadi tarikan pengunjung ke pameran tersebut.
Mohd Fared berkata, kunjungannya bersama delegasi Kerajaan Negeri Kelantan ke negara China pada awal Julai lalu disifatkan berjaya bagi membolehkan ekspo yang julung-julung kali diadakan ini dilangsungkan di negeri ini.
“Sudah dua kali wartawan dari negara China datang ke negeri ini bagi membuat tinjauan untuk membuat pelaburan di negeri ini dan yang paling menarik sekali kita memfokuskan kepada pemilik syarikat korporat yang beragama Islam di sana di dalam menjalinkan hubungan ekonomi ini.
“Dari satu sudut, kita sudah berjaya menjalinkan hubungan dalam bidang ekonomi dengan negara tersebut dan ianya sudah pun dimulakan dengan kejayaan penganjuran ekspo ini,” katanya.SH
No comments:
Post a Comment