Friday, November 12, 2010

Henti pembinaan Gamuda , bayar pampasan banjir




















GEORGE TOWN, 12 Nov. : Kerja pembinaan landasan berkembar diarah dihentikan segera sementara menunggu jaminan daripada MMC Gamuda JV bahawa ia akan membayar pampasan kerosakan akibat banjir.


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini berikutan dakwaan bahawa projek itu, yang bermula Januari 2008, telah memburukkan situasi banjir di Kedah.

Menurutnya, syarikat itu dikritik kuat oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung.

"Pulau Pinang memandang serius dakwaan dua pemimpin tersebut, seorang dari BN dan seorang lagi dari Pakatan Rakyat; Mereka belum menarik balik kenyataan mereka," kata Lim dalam satu sidang akhbar hari ini.

Oleh itu, katanya, ia bukan lagi masalah politik tetapi pendapat dua pemimpin tersebut mengenai situasi berkenaan.

Kontrak pembinaan sistem berkembar sepanjang 329km yang bernilai RM12.84 bilion dari Padang Besar ke Ipoh, ditandatangani pada 2007.

Lim berkata arahan henti kerja itu akan ditarik balik apabila syarikat berkenaan memberi jaminan bertulis bahawa ia akan menanggung semua kos kerugian akibat banjir di Pulau Pinang, seperti yang ia lakukan di Kedah.

"Ini untuk membela kehidupan rakyat kita, terutama mereka yang tinggal di tanah besar," tambahnya.

Beliau berharap satu pertemuan awal diadakan antara kerajaan negeri dengan wakil MMC Gamuda dan mahukan komitmen bertulis tanpa sebarang syarat.

Lim berkata, kerajaan negeri mahu syarikat berkenaan membuka landasan yang menyebabkan air hujan bertakung apabila banjir berlaku di negeri itu.

Menurutnya, situasi banjir kali ini adalah 'luar biasa', yang terburuk dalam sejarah banjir di Kedah, ekoran hujan lebat. -mk

No comments:

Post a Comment