Tuesday, November 23, 2010
Janji pemimpin BN kepada mangsa banjir tidak masuk akal
ALOR SETAR, 22 Nov. : Exco Kanan Kerajaan Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi menyuarakan rasa terkejut dengan sikap pemimpin Barisan Nasional(BN) yang berlumba-lumba menabur janji untuk membantu rakyat yang menjadi mangsa banjir besar baru-baru ini.
Ir Phahrolrazi berkata, pelbagai janji berupa bantuan kewangan dan pembinaan infrastruktur yang ditawarkan oleh pemimpin BN berlainan yang disiarkan media hampir setiap hari mengejutkannya kerana ada janji disifatkannya tidak masuk akal dan memerlukan peruntukan yang teramat banyak.
Menurutnya, inisiatif Kerajaan Pusat memberi bantuan kepada mangsa banjir tidak salah, bagaimanapun beliau meminta Kerajaan Pusat melantik seorang pemimpin khusus untuk mengumumkan segala bentuk bantuan diberikan bagi mengelakkan rakyat terpedaya dengan janji palsu pemimpin tidak berkenaan.
“Kerajaan Negeri bukan cemburu dengan keupayaan Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan banyak kepada mangsa banjir, malah kami mengalu-alukannya memandangkan rakyat Kedah juga rakyat Kerajaan Pusat.
“Bagaimanapun, kami berharap segala janji yang ditaburkan akan ditunaikan Kerajaan Pusat bagi mengelakkan tindakan itu memakan diri mereka sendiri ekoran kekecewaan mangsa banjir menagih janji,”katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.
Ir Phahrolrazi berkata, di pihak Kerajaan Negeri, janji bantuan yang akan diberikan adalah berdasarkan pembentangan Bajet Kerajaan Negeri 2011 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada sidang Dewan Undangan Negeri(DUN) terdahulu.
Menurutnya, tiada peruntukan tambahan yang disalurkan kerana fokus Kerajaan Negeri memberi bantuan kepada mangsa banjir sewaktu banjir semata-mata.
“Kini, giliran Kerajaan Pusat untuk menunaikan tanggungjawab mereka membantu mangsa selepas bencana banjir selesai dan saya harap bantuan disampaikan tanpa ada sikap pilih kasih,”katanya.
Ir Phahrolrazi berkata, Kerajaan Negeri masih belum menerima seberang penjelasan mengenai mekanisme yang akan digunakan Kerajaan Pusat bagi membantu mangsa banjir.
Beliau berharap, bancian bantuan dibuat secara adil dan diagihkan mengikut keutamaan.SH
No comments:
Post a Comment