Saturday, November 27, 2010

Jika PAS ada Nik Aziz, PKR ada Anwar , Umno tentulah Rosmah


PETALING JAYA, 27 Nov. : Perwakilan PKR meneruskan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya terus mengetuai parti itu dengan meminta jawatan ketua umum tidak perlu melalui proses pemilihan sebagaimana dicadangkan oleh sayap Wanita semalam.

Anwar sebelum ini menolak untuk bertanding bagi jawatan presiden PKR yang kini disandang isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak 11 tahun lalu.

“Terdapat pihak yang mempersoalkan Anwar untuk membuat keputusan-keputusan, yang membuat kami meragui kepimpinannya. Ada juga yang mempersoalkan kecekapannya untuk menjadi ketua umum.

“Beliau tidak lantik diri sendiri untuk menjadi ketua umum. Kita yang melantik beliau,” kata perwakilan PKR Selangor Faris Musa ketika membahaskan usul dasar ucapan presiden pada hari pertama kongres.

Faris kemudian meminta supaya 1,200 perwakilan berdiri untuk menunjukkan sokongan kepada Anwar selaku ketua umum.

“Mari kita berikan sokongan tidak terhingga kepada Anwar,” kata timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan ini.

Sementara itu, perwakilan Srikandi Siti Aishah Shaik Ismail berkata, tindakan memaksa Anwar bertanding bagi jawatan presiden parti akan mengehadkan peranannya.

“Ramai yang mempersoalkan kenapa Datuk Seri Anwar menolak untuk bertanding jawatan presiden. Saya kata itu adalah naif kerana kita tidak sepatutnya mengehadkan peranan Anwar untuk berkhidmat kepada parti.


“Beliau adalah pemimpin antarabangsa,” tambahnya.

Siti Aishah turut menyamakan kedudukan Anwar sebagai ketua umum PKR seperti Mursyidul Am PAS yang kini dipegang Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kedudukan ketua umum ini tidak boleh dipertandingkan atau dipertikaikan. Jika PAS ada Mursyidul Am, kita ada ketua umum untuk memberikan nasihat kepada parti,” katanya.

Anwar dilantik sebagai Ketua Umum PKR ketika kongres parti itu pada 2007 selepas tidak dibenarkan untuk bertanding bagi jawatan presiden oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Beliau dilarang daripada memegang mana-mana jawatan parti ekoran hukuman penjara yang dikenakan pada 1999. Larangan itu tamat pada April 2008.

Jawatan ketua umum tidak digubal secara rasmi dalam perlembagaan PKR yang sebelum ini dipersoalkan bekas calon timbalan presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim dan mencabar Anwar untuk mengambil alih jawatan presiden.

Semalam Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mencadangkan supaya kedudukan Anwar sebagai ketua umum diwujudkan secara rasmi tetapi Dr Wan Azizah menolak cadangan itu.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider malam tadi, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail secara peribadi merasakan tidak perlu ada jawatan ketua umum yang formal bagi membolehkan Anwar, yang juga suaminya menyandang kerusi tersebut sebagaimana disarankan oleh Wanita PKR semalam.

Dr Wan Azizah berpendapat tidak perlu ada peruntukan perlembagaan khas bagi mewujudkan jawatan itu memandangkan amalan semasa membolehkan keputusan bersama dibuat membabitkan semua lapisan kepimpinan kanan parti.

Wanita PKR memberikan pandangan itu di sebalik pertikaian pihak-pihak pesaing PKR khususnya dari Umno-BN bahawa tiada jawatan khusus di bawah perlembagaan parti bagi membolehkan Anwar dipanggil sebagai ‘ketua umum PKR’.

“Itu pandangan ketua Wanita, ya saya menghormati pandangan beliau, tetapi saya kira bahawa walaupun tiada jawatan formal, namun ‘de facto leader’ itu, Saudara Anwar membuat keputusan yang efektif, tetapi dengan mengambil kira inputnya dengan kebijaksanaan (timbalan presiden Senator Dr) Syed Husin Ali, (Menteri Besar Selangor) Tan Sri Khalid Ibrahim, dan mereka-mereka seperti Azmin (Ali), Saifuddin (Nasution Ismail), William Leong, Tian Chua, Sivarasa, semualah.

“Jadi, saya rasa tak perlulah jawatan itu, yang formal, yang kita ikut perlembagaan kerana perkiraannya kita membuat keputusan secara bersama. Memang ‘de facto leader’ itu Anwar, tetapi bukan ‘reserve’ bagi beliau, bukan satu jawatan ‘reserve’, yang dipegang oleh Anwar, oh tidak... sebab kita ada input daripada semua,” kata beliau dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider di rumahnya di sini malam tadi sempena Kongres Nasional PKR selama dua hari yang bermula hari ini.TMI

No comments:

Post a Comment