Saturday, November 20, 2010

Laksamana Cheng Ho ikon hubungan kaum di Malaysia























KOTA BHARU 21 NOV :
Cheng Ho perlu dikenang sebagai ikon penting dalam sejarah manusia yang menjadikan perjuangan untuk keamanan dan kemakmuran bersama jauh mengatasi kepentingan puak dan bangsa.

Pengerusi Ekspo Cheng Ho yang sedang berlangsung di Kota Bharu, Datuk Husam Musa berkata watak besar dari China ini akan pasti dikenang kerana jasanya dalam memperkenalkan nilai persahabatan dan kebajikan yang membelakangkan persoalan puak, agama dan keturunan dalam membangunkan tamadun.

"Cheng Ho yang mewakili kerajaan China yang amat berkuasa pada zamannya sentiasa merendah diri dengan memberi hadiah, membawa khidmat perubatan dan mengajak berkongsi teknologi baru dengan raja-raja dan rakyat yang dilawatinya di seluruh dunia,

" kata beliau ketika menutup Seminar Cheng Ho dan penyebaran Islam di Asia Tenggara di Balai Islam Lundang, semalam lapor Harakah Daily Online.

Seminar sehari itu menampilkan Prof Tan Ta Sen (Singapura), Prof. Hum Sin Hoon dan Mr. Zheng Zi Hai membentangkan kertas kerja masing-masing, manakala Prof. Madya Obaidellah Mohamad bertindak sebagai moderator.

Menurut Husam, semangat Cheng Ho perlu disuburkan semula dalam situasi masyarakat Malaysia yang dibina dengan kecurigaan perkauman selama berpuluh-puluh tahun.

"Kita mahu membina masyarakat baru, yang bersatu atas nilai-nilai tinggi, mengutamakan kebenaran, kebajikan, perkongsian dan semangat tolong menolong dan meninggalkan konsep mengapi-apikan perkauman sempit," ujarnya.

Bangsa, kata beliau memang sesuatu yang tidak mungkin hapus, namun asas persahabatan perlu dibina dengan asas yang lebih kukuh sebagaimana ditunjukkan oleh Cheng Ho.

"Cheng Ho beragama Islam, dia boleh berkhidmat memimpin armada milik maharaja China yang bukan Islam dan mengendalikan puluhan ribu angkatan laut yang memiliki pelbagai latarbelakang.

"Situasi ini tidak mungkin terjadi jika kita terbawa-bawa dengan pemikiran sempit perkauman dan tidak mengutamakan persahabatan dan kepentingan bersama," ujar beliau.

Ekspo Cheng Ho kata beliau, bukan sekadar mendominasi urusan perniagaan dan perdagangan tetapi juga meliputi pertukaran budaya dan pendidikan.

"Pelbagai pertunjukan tempatan dan antarabangsa di bawa bersama ekspo ini bagi menunjukkan mereka yang memiliki keyakinan diri yang tinggi mampu menjulang kecemerlangan dalam apa jua bidang," katanya.

Beliau turut mengumumkan beberapa pihak di negara China telah bersetuju untuk mengadakan program pertukaran pelajar dengan Kelantan.

"Kita telah diberi beberapa tempat untuk belajar di beberapa pusat pengajian dengan pembiayaan sepenuhnya oleh masyarakat di sana," tambah beliau.

No comments:

Post a Comment