Wednesday, November 17, 2010

Pembunuhan kejam seorang peguam perlu siasatan segera


IPOH, 18 Nov. : Peguam yang maut akibat diserang empat lelaki bertopeng petang kelmarin pernah mengalami kejadian yang hampir sama kira-kira empat tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, A Sivanesan mendakwa, G Balasundram, 57, berkata, mangsa pernah berhadapan dengan kejadian yang hampir sama namun tidak mengalami sebarang kecederaan.


“Bagaimanapun, saya difahamkan salah seorang daripada penyerang itu sudah ditahan polis,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Sivanwsan berkata, kali ini Balasundram tidak bernasib baik kerana diserang sekumpulan lelaki sehingga meragut nyawa rakan baiknya itu

Beliau yang masih terkejut dengan pemergian rakan baiknya itu berkata, beliau berasa sudah tiba masanya semua pihak bergabung tenaga bagi membanteras jenayah untuk mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

“Mendiang seorang peguam yang sangat bermurah hati. Beliau selalu menerima kes yang ditolak oleh peguam lain dan cuba menyelesaikannya tanpa mengenakan sebarang bayaran,” katanya yang sudah mengenali Balasundram hampir 16 tahun.

Katanya, Balasundram tidak mempunyai musuh malahan mempunyai hubungan yang baik dengan semua pihak kerana sikap rendah diri.

“Saya difahamkan mendiang banyak membantu menyelesaikan beberapa kes membabitkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sejak tahun 1995,” katanya.

Sehubungan itu, Sivanesan berharap pembunuh yang melakukan perbuatan kejam itu dapat diberkas polis dengan kadar segera.

Peguam maut kena kelar

IPOH – Seorang peguam ditemui cedera parah akibat diserang sekumpulan empat lelaki bertopeng yang dipercayai bersenjatakan pisau ‘rambo’ di hadapan rumahnya di Desa Rishah, petang kelmarin.

Bagaimanapun, mangsa, G Balasundram, 57, disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira jam 9.30 malam.

Laporan bedah siasat menemui 17 kesan kelar di bahagian abdomen dan beberapa bahagian lain terutamanya di paha.

Kakak mangsa, G Kamala, 58, berkata, kali terakhir Balasundram menghubunginya adalah pada jam 3 petang untuk memberitahu ingin ke rumah ibu mereka di Pasir Pinji.

Menurut Kamala, itu adalah panggilan akhir yang diterima sebelum adiknya menghembuskan nafas terakhir di HRPB.

“Kali terakhir saya menemuinya pada perayaan Deepavali yang lalu. Secara kebetulan, hari jadinya turut disambut pada hari yang sama.

“Pada waktu itu, adik saya tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh malahan sangat gembira ketika menyambut perayaan itu di rumah ibu kami,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah mayat HRPB, di sini, malam kelmarin.

Kamala yang bekerja sebagai Jurulatih Klinikal berkata, adiknya adalah satu-satu anak lelaki daripada enam adik-beradik.

“Kehilangannya amat dirasai kami sekeluarga kerana beliau adalah seorang anak yang baik dan penyayang,” katanya yang sebak dengan pemergian adiknya itu.

Jiran saksi kejadian

Dalam perkembangan sama, jiran mangsa, S Elizabeth, 52, berkata, sewaktu kejadian beliau terlihat sekumpulan empat lelaki yang menaiki dua motosikal tiba-tiba datang menyerang mangsa di bahagian kaki, badan dan leher menggunakan pisau secara bertalu-talu.

Menurutnya, Balasundram sempat meminta tolong daripada beberapa jiran berhampiran sebelum rebah akibat kecederaan yang dialami.

Beliau segera membantu isteri mangsa, G Puspalatha, 46, untuk membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Mangsa turut meninggalkan seorang anak, Somaskanthar, 5.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5 petang daripada adik ipar mangsa.

“Siasatan awal polis mendapati, mangsa diserang keempat-empat lelaki berkenaan ketika mangsa keluar daripada keretanya.

“Kumpulan itu, kemudian melarikan diri menaiki dua buah motosikal dan meninggalkan mangsa dalam keadaan cedera parah.

“Difahamkan mangsa baru pulang dari pejabat sewaktu insiden itu berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Dzuraidi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa diekori sebelum diserang di rumahnya.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen di talian 05-2451222 untuk membantu siasatan.

Segerakan siasatan: Murugiah

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T Murugiah mahu polis segera menyiasat kes pembunuhan terbabit dan tidak menolak kemungkinan ia dirancang pihak tertentu yang memusuhinya.

“Ini (pembunuhan) bukan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah. Sekiranya polis dapat tangkap, tetap akan dihukum bunuh. Jadi, jika ada salah faham, bawa berbincang.

“Saya minta polis menjalankan siasatan segera dan perkara ini akan saya sampaikan kepada Ketua Polis Perak,” katanya ketika melawat keluarga mangsa yang juga rakannya.

Murugiah berkata, mangsa merupakan seorang peguam yang merendah diri dan ringan tulang.

Beliau mengakui pernah bekerjasama semasa menjadi Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh suatu ketika dahulu.

“Mangsa merupakan seorang rakan yang sangat baik sepanjang 16 tahun mengenalinya,” katanya.

Beliau turut meminta ibu bapa mengawasi anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan kegiatan jenayah berikutan kes itu semakin meningkat di negara ini.
SH

No comments:

Post a Comment