Monday, November 15, 2010

Peningkatan pengundi Orang Asli mencurigakan


KOTA BHARU, 16 Nov. : PAS Kelantan curiga dengan peningkatan pengundi di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November lalu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, hasil rumusan awal yang dibuat oleh pihaknya mendapati terdapat beberapa peti undi menunjukkan peningkatan ketara jumlah pengundi berbanding Pilihan Raya Umum (PRU-12) yang lalu.


Menurutnya, paling jelas peningkatan itu berlaku di kawasan melibatkan Orang Asli sehingga jumlah keluar mengundi mencecah 85 peratus.

“Kita curiga, sesetengah peti undi menunjukkan peningkatan ketara, kita tidak tahu dari mana pengundi datang sama ada dari luar, dibawa atau sebagainya, kita akan buat siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pilihan Raya Kecil Galas menyaksikan calon PAS, Dr Zulkifli Mohamed tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 1,190.

DUN Galas mempunyai 11, 553 pengundi. Seramai 9,555 pengundi atau 82.71 peratus keluar mengundi dalam pilihan raya kecil lalu berbanding 81 peratus dalam PRU yang lalu.

Abdul Fatah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku berkata, peratusan undi kepada PAS tidak menurun ketara sebaliknya BN mendapat kemenangan melalui peningkatan jumlah pengundi.

”Dalam soal ini kita menyerahkan kepada PAS pusat untuk menentukan tindakan selanjut sama ada perkara ini perlu dibawa ke pihak tertentu atau sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil itu memberi pengajaran berguna kepada parti itu dalam menghadapi PRU akan datang.

“Kita tidak menyesal dengan kekalahan tetapi ia memberi satu pengajaran yang besar. Sekurang-kurangnya kita tahu bahawa strategi yang diguna pakai oleh UMNO dalam mendapatkan undi mereka.

“PAS mengetahui strategi mereka terhadap Orang Asli dan apa yang buat terhadap pengundi Cina, semua ini dalam rekod kita untuk dijadikan panduan di masa hadapan,” katanya.

Sehubungan dengan itu katanya, PAS Kelantan akan membuat ‘post mortem’ dalam masa terdekat bagi mengenal pasti punca kekalahan secara keseluruhan.SH

No comments:

Post a Comment