Saturday, November 27, 2010

Pilihanraya Sarawak : PKR sudah bersedia










PETALING JAYA, 27 Nov. : Sarawak dibahagikan kepada tiga zon bagi memudahkan logistik, komunikasi dan gerak-kerja jentera dalam pilihanraya negeri akan datang.

Tiga zon terbabit iaitu zon utara, tengah dan selatan mempunyai kontinjen jentera yang khusus, dipersiapkan untuk membawa isu setempat yang unik dan isu negeri yang mendesak.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sarawak, Baru Bian berkata hal-ehwal strategi dan pertandingan diuruskan oleh satu majlis Pakatan Rakyat, membabitkan PKR, DAP, PAS dan SNAP.

Baru Bian menjelaskan pengagihan dan penumpuan mengikut zon adalah perlu bagi mengurangkan beban birokrasi pada jentera.

Jentera di zon-zon berkenaan akan ditadbir dan diselaras oleh seorang individu yang berwibawa dan bertanggungjawab.

"Kita baru sahaja membentuk struktur sebegitu rupa, dan melibatkan penyertaan badan-badan bukan kerajaan untuk bekerjasama dengan ahli-ahli PKR,"katanya di kongres ke-7 PKR disini.

Sarawak mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri, dan 62 daripadanya dikuasai Barisan Nasional.

TV Selangor difahamkan pilihanraya negeri Sarawak perlu diadakan sebelum Julai tahun depan, dan spekulasi kuat mengatakan ia akan adakan pada bulan Mac atau April.

"Kita bawa mesej muafakat baru, pemimpin baru, Sarawak baru. Kita ada potensi untuk memenangi pilihanraya negeri, dan kita mahu kamu (rakyat) untuk menyertai kami. Bagaimana boleh kamu bantu kami?"soalnya.

Baru Bian menjelaskan bahawa majlis kini dalam proses memuktamadkan manifesto pilihanraya negeri Sarawak.

Antara keluhan rakyat yang diberi keutamaan adalah isu tanah-tanah adat dan bumiputera.

"Isu NCR adalah isu yang paling panas dibincangkan di kalangan masyarakat Dayak dan Melayu. Kita mahu giatkan lagi usaha memperjuangkan hak tanah untuk Dayak dan Melayu," kata Baru Bian.

"Dalam pada itu, kita bersetuju bahawa soal tanah adalah soal yang penting untuk semua rakyat Sarawak. Lantas kita dan DAP bersetuju untuk memperkenalkan sistem pembaharuan tanah secara automatik untuk masyarakat Cina. Cadangan ini mendapat sambutan hangat, dan mendapat pendedahan meluas dalam akhbar-akhbar Cina," tambahnya.

Sementara itu, rundingan pembahagian kerusi kini sudah 90 peratus selesai.

Turut hampir diselesaikan adalah soal pemilihan calon Pakatan Rakyat.

"Kita sudah senarai-pendekkan calon-calon pilihanraya dan mereka ini telah kita gerakkan ke lapangan menemui rakyat. Namun di beberapa kawasan beberapa nama dipertimbangkan. Namun begitu kita berharap bakal-bakal calon terbabit bergerak bersama-sama, sehingga pimpinan mengumumkan calon yang terpilih, berdasarkan kepada siapa yang mempunyai peluang paling cerah untuk menang melawan Barisan Nasional.

"Saya harap calon-calon berpotensi ini saling bekerjasama dan fokus kepada matlamat perjuangan. Menjadi calon pilihanraya bukan segalanya, kerana apabila Pakatan Rakyat mentadbir Sarawak, banyak kawasan yang perlu diisi dengan individu-individu berkelayakan," katanya sambil menambah mereka kini memberi penekanan kepada faktor sumber manusia, termasuk melantik dan melatih petugas dan agen pilihanraya.

Jentera pilihanraya PKR dijangka akan mula bergerak pada bulan Disember, dan membawa sehingga ke tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak.

No comments:

Post a Comment