Tuesday, November 30, 2010
PR kemuka bajet alternatif Perak
IPOH, 1 Dis. : Pakatan Rakyat (PR) negeri ini akan membentangkan bajet alternatif dalam mesyuarat pada hari kedua, Persidangan Pertama Mesyuarat Ketiga, Dewan Negeri Yang Kedua Belas Negeri Perak, hari ini 9esok).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pembentangan bajet itu dibuat berikutan belanjawan 2011 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada mesyuarat itu dilihat sebagai belanjawan defisit.
Menurutnya, belanjawan itu yang hampir mencecah RM30 juta masih berterusan, malah semakin bertambah daripada tahun sebelumnya.
"Kami mempersoalkan kenaikan cukai pendapatan tahun ini berbanding tahun lalu. Dengan peningkatan ini, kami ingin mengetahui ia diperoleh daripada sumber mana?
“Sebab kami dapati pembentangan belanjawan itu turut mempunyai unsur belanjawan pilihan raya. Ini apabila kerajaan negeri memberi tambahan RM50 juta kepada ketua Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) biarpun Kerajaan Pusat telah beri elaun RM750 sebulan kepada mereka.
“Ini tidak termasuk elaun RM150 yang diberikan kepada mereka sebagai elaun perjalanan dan sebagainya. Jelas, pemberian ini melibatkan pertambahan perbelanjaan dan bertujuan membeli atau mengula-gulakan rakyat,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Wisma DAP selepas persidangan Pertama Mesyuarat Ketiga, Dewan Negeri Yang Kedua Belas Negeri Perak di sini, semalam.
Mohammad Nizar berkata, masih banyak masalah perlu diberi perhatian seperti banjir, jalan berlopak, jalan raya tidak diperkemas, jambatan rosak dan sebagainya.
“Contohnya, masalah banjir melanda Kampung Boyan, Taiping di mana hanya RM2 juta diperuntukkan bagi mengatasi masalah itu. Apa yang dapat dibuat dengan RM2 juta?
“Jadi bajet ini cuba meraih simpati masyarakat bukan Melayu apabila meletakkan RM5 juta untuk menyelesaikan masalah rumah ibadat, sebagai contoh yang melibatkan tempat pembakaran, selain tanah perkuburan yang kita sendiri tidak tahu di mana.
Oleh itu, katanya, pada perbahasan itu beliau akan membentangkan bajet alternatif berkenaan yang dibuat khusus bagi membela rakyat.
Sementara itu, Mohammad Nizar menyelar tindakan Speaker, Datuk R.Ganesan memerintahkan ADUN Hutan Melintang, S.Kesavan keluar dewan selain tidak membenarkannya mengikuti mesyuarat sehingga tempoh persidangan tamat.
Katanya, tindakan itu diragui berikutan Ganesan tidak tahu perintah berkenaan dibuat mengikut peraturan mana dan sehingga kini mereka hairan kenapa Kesavan diperintahkan keluar.
"Dia hanya minta supaya soalan berhubung hak rakyat di kawasannya dijawab secara bertulis setelah Ganesan meminta tiga soalan lisan dan lima soalan bertulis daripadanya.
“Kerana pembesar suara ditutup, Kesavan terpaksa bersuara agak kuat dan kelihatan sedikit agresif. Kami sedih dan melihat perkara ini sebagai penganiayaan terhadapnya," katanya.
No comments:
Post a Comment