GEORGETOWN, 24 Nov. : Bekas ketua menteri Pulau Pinang Tun Dr Lim Chong Eu meninggal dunia pukul 9 malam ini setelah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang sejak hampir sebulan akibat serangan angin ahmar.
Dr Lim (gambar) menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Tanjong Bungah di sini setelah dibawa balik dari hospital itu petang tadi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon ketika dihubungi Bernama mengesahkan berita mengenai kematian Dr Lim itu.
Satu makluman rasmi akan diumumkan, kata Koh.
Mendiang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang sejak 28 hari lalu.
Dr Lim dimasukkan ke ICU pada 26 Oktober selepas beliau dipercayai mengalami strok.
Beliau ketua menteri kedua Pulau Pinang dan memegang jawatan itu selama 21 tahun dari Mei 1969 hingga Oktober 1990.
Mendiang adalah presiden MCA sebelum meninggalkan parti itu, dan presiden Gerakan selama sembilan tahun dari 1971.
Di bawah kepimpinannya, Gerakan menyertai Barisan Nasional pada 1972.
No comments:
Post a Comment