2011: Anwar seru rakyat bersatu selamatkan negara
KUALA LUMPUR, 25 Dis. : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah menjadi harapan kepada seluruh rakyat Malaysia bagi menuntut sebuah pentadbiran yang adil, bertunjangkan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Sepanjang 2010, negara telah menyaksikan pelbagai bentuk pencabulan terhadap sistem demokrasi berparlimen, kenaikan harga barangan keperluan, fahaman jumud yang berasaskan sentimen perkauman sempit serta penindasan ke atas hak rakyat terbanyak.
“Semua ini menyedarkan kita untuk menilai dan merenung kembali betapa pincangnya pentadbiran kerajaan sedia ada,” katanya dalam perutusan menjelang tahun baru 2011 dan perayaan Hari Natal, hari ini.
Anwar menambah, tahun 2010 bakal menghampiri penghujungnya, maka kini adalah masanya bagi pejuang keadilan dan pendokong Pakatan Rakyat untuk memperbaharui iltizam dan tekad demi menggapai impian dan matlamat yang dicita-citakan.
“Bagaimanapun, segala iltizam dan tekad yang disemai tak mungkin akan tercapai seandainya tak dibaja dengan usaha dan tindakan.
“Justeru, marilah kita bertekad dan beriltizam untuk sama-sama bersatu menyelamat dan memartabatkan negara ini bersempena tahun baru 2011 kelak,” pesan Anwar.
Dalam pada itu, Anwar turut menyampaikan ucapan selamat menyambut Hari Natal kepada seluruh penganut agama Kristian dan Selamat Tahun Baru 2011 kepada semua rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment