Friday, December 17, 2010

Anwar atau pemimpin Umno amal fahaman pluralisme

Tuan Ibrahim: Tuduhan Anwar Anut Fahaman Pluralisme Berniat Jahat





















SHAH ALAM, 17 Dis. : Tuduhan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa fahaman Islam pluralisme ketika menyampaikan ucapan di Kota London Mac lalu, sebagai satu tuduhan jahat.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jelas laporan Utusan Malaysia 15 Disember lalu turut mengandungi unsur politik untuk menjatuhkan imej Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

"Saya lihat Utusan berniat jahat. Kalau kita lihat, tindakan-tindakan pemimpin Barisan Nasional(BN) terhadap agama lain jauh lebih bercanggah dengan syarak pun sehingga kadang-kadang sampai meraikan keagamaan orang bukan Islam," kata Tuan Ibrahim ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia yang memetik kenyataan Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Yusri Mohamad.

Laporan bertajuk "Anwar sering bawa mesej fahaman pluralisme agama" adalah bagi mengulas intipati ceramah Anwar di London pada 18 Mac lalu.

Anwar didakwa cenderung menyokong fahaman Institut Kajian Dasar (IKD) terhadap perjuangan Jaringan Islam Liberal yang diterajui oleh Ulil Absar Abdullah iaitu seorang pejuang fahaman pluralisme di Indonesia.

Namun menurut Tuan Ibrahim, dakwaan itu terlalu jauh menyimpang.

"Adanya perbezaan ketara di antara pluralisme sebagai satu ideologi dengan konsep menghormati hak-hak agama yang ada dalam Islam. Jadi soal yang besar yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, kita tidak boleh melihat kepada satu dua peristiwa.

"Jadi saya fikir kalau kita hendak menganggap Anwar, Ustaz Hadi dan Tok Guru Nik Aziz sebagai berfahaman sedemikian, saya ingat ia terlalu jauh. Sebab ia bercanggah dengan konsep sebenar pluralisme itu sendiri," jelas Tuan Ibrahim lagi.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menambah, sepanjang pemerhatiannya, fahaman pluralisme tidak wujud di Malaysia.

Namun apa yang perlu dibimbangkan dan lebih merbahaya katanya ialah amalan sekularisme yang menular tanpa disedari di negara ini.

"Fahaman yang menganggap dalam beragama ini, ada sistem-sistem yang tidak ada kena mengena dengan agama Islam. Seperti politik tidak ada kena mengena dengan Islam, ekonomi tidak ada kena mengena dengan Islam. Beranggapan agama itu hanya urusan dengan Tuhan. Tidak ada kena mengena.

" Ini juga bercanggah dengan akidah," jelas Tuan Ibrahim lagi.

No comments:

Post a Comment