SHAH ALAM, 4 Dis. : Tindakan kerajaan pusat yang mengarahkan penutupan kilang pengeluar sarung tangan di Ijok, Hartalega Sdn Bhd, dikhuatiri akan menakutkan pelabur selain menyebabkan 800 pekerja tempatan hilang pekerjaan, kata setiausaha politik menteri besar Selangor, Faekah Husin.
“Adalah merugikan rakyat Selangor dan negara khasnya jika arahan itu dibuat tanpa siasatan lanjut tetapi hanya untuk menjaga kepentingan politik dan memenuhi agenda tersembunyi pihak-pihak tertentu.
“Ini bertentangan dengan dasar kerajaan Selangor yang mahu menarik pelaburan asing dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor serta dari negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Menuru Faekah, implikasi penutupan kilang itu tanpa usul periksa akan menyebabkan pelabur membatalkan rancangan melabur di Kuala Selangor, termasuklah pelaburan usaha sama syarikat Jepun dan Guthrie melibatkan pelaburan melebihi RM2 billion.
“Adalah amat tidak wajar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana, Datuk T Murugiah mengarahkan Hartalega menghentikan operasi hanya kerana aduan beberapa orang penduduk berhampiran kilang yang mendakwa kesihatan terganggu kerana pencemaran oleh kilang berkenaan,” katanya.
Hartalega telah beroperasi sejak 1996 dan sehingga hari ini, tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan operasi kilang itu menyebabkan penduduk mengalami masalah pencemaran.
Pertengahan tahun ini, penduduk Taman Suria, Bestari Jaya, Kuala Selangor mendakwa terdedah dengan pencemaran bahan kimia hasil bahan buangan.
Berikutan dakwaan itu, Menteri Besar, Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri turun padang untuk meninjau masalah rayat itu.
Abdul Khalid diberi taklimat mengenai operasi kilang dan amalan-amalan mengikut kawalan alam sekitar terutama melibatkan rawatan air tercemar dan pelepasan asap dan beliau berpuas hati kerana Hartalega mematuhi semua peraturan dan piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Katanya, Hartalega merawat air yang tercemar sebelum dialirkan keluar manakala asap yang dilepaskan dari kilang itu tidak membahayakan kesihatan.
Pihak kilang juga memberitahu dakwaan adanya ammonia di ruang udara sekitar kawasan perumahan juga tidak benar kerana ujian yang dilakukan pihak Hartalega mendapati tidak wujud bahan kimia itu.
Malah, menurut Faekah, tinjauan kerajaan negeri juga mendapati tiada seorang pun pekerja kilang itu yang mengalami masalah kesihatan walaupun setiap hari terdedah dengan bahan kimia.
“T Murugiah sebenarnya tiada kuasa mengarahkan Hartalega ditutup kerana kilang berkenaan memenuhi semua piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa. Hanya Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mempunyai kuasa mengarahkan hilang itu ditutup.
“Hasil pemeriksaan berkala yang dilakukan terhadap Hartalega mendapati kilang itu tidak melanggar peraturan. Sehubungan itu, tiada alasan untuk MDKS menutup operasi kilang berkenaan,” katanya.
Faekah berkata Murugiah tersilap fakta dan mendapat maklumat yang silap kerana tidak merujuk kepada pihak berkuasa sebelum membuat arahan itu.
MDKS, kata Faekah telah diarahkan supaya terus mengadakan perbincangan dengan penduduk untuk meningkatkan sistem perparitan yang didakwa menyebabkan banjir manakala JAS pula akan meningkatkan pemeriksaan dan kawalan bagi memastikan Hartalega tidak mencemar alam sekitar.
Masalah itu timbul apabila, jarak antara kawasan industri dan kawasan perumahan yang sepatutnya adalah 500 meter tetapi dibina kurang 100 meter dari kilang.
MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT
No comments:
Post a Comment