Monday, December 6, 2010

Kerajaan Selangor ikut nasihat Sultan


























SHAH ALAM, 6 Dis. : Kerajaan negeri akan menggunapakai nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu tindakan segera diambil untuk memastikan negeri ini tidak mengalami krisis air pada masa depan, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

" Kita menerima cadangan TuankU. Kita mesti membuat persediaan terhadap keadan-keadaan kekurangan air dan seterusnya. Itu kita akan lakukan, sebab itu kita nak mempercepatkan proses penswastaan ini supaya dapat dijalankan dengan cepat dan tertib," kata beliau.

Semalam, Tan Sri Abdul Khalid berkata kerajaan persekutuan akhirnya memberi persetujuan kepada kerajaan negeri untuk membuat tawaran semula kepada empat syarikat konsesi termasuk Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi pengambilan aset mereka.

Kerajaan negeri akan menawarkan Syabas, Puncak Niaga, Splash dan Abass RM6 bilion, jumlah yang hampir sama ditawarkan sebelum ini, namun tidak dipersetujui oleh kerajaan persekutuan Umno-Barisan Nasional.

Jika tawatan itu diterima, kerajaan negeri akan mendapat hak semula untuk menguruskan industri air Selangor dan berpeluang menawarkan kemudahan itu pada harga yang lebih murah daripada Syabas.

Dalam wawancara dengan akhbar The Star semalam, Sultan Sharafuddin mahukan kemelut antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan diselesaikan secepat mungkin dan berharap kedua-dua pihak mengenepikan perbezaan politik mereka demi kebajikan rakyat Selangor.

Tan Sri Khalid berkata teguran oleh Tuanku tidak harus dilihat sebagai memihak kepada sesiapa tetapi dibuat atas keprihatinan baginda terhadap rakyat Selangor.

"Baginda mengingatkan bagaimana usaha yang terbaik untuk melakukan sesuatu, boleh jadi ada orang mengintrepetasikan sebagai amaran tapi bukan. Ini adalah satu nasihat. Rakyat berpayung kepada Raja kerana nasihat kebijaksanaan Raja. Itu yang paling penting," tambah Khalid lagi.

Sultan Sharafuddin semalam bertitah bahawa baginda menyedari setiap tegurannya kepada kerajaan negeri sekarang akan mendapat liputan meluas di media arus perdana.

Kenyataan itu dilihat sebagai bertunjangkan hakikat bahawa media arus perdana dikawal oleh Umno-BN dan sebarang kenyataan istana terhadap Pakatan Rakyat akan disensasikan.

Namun dalam wawancara sama, Sultan Idris Shah mengingatkan bahawa beliau sentiasa menegur kerajaan negeri apabila perlu dari dulu lagi, apabila Selangor dibawah pimpinan Umno-BN.

Khalid berkata tidak ada pihak yang harus memutarbelitkan amanat Sultan Sharafuddin.

"Tuanku berkata baginda membuat teguran bukan hanya pada 2008 sehingga sekarang, tetapi Tuanku membuat kenyataan ini sejak tahun 2002, saya ada baca, 2004 pun ada juga, jadi maknanya baginda konsisten. Maknanya Sultan mengingatkan pegawai kerajaan lebih baik jangan berpolitik tapi buat kerja, " tegas Tan Sri Khalid.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

No comments:

Post a Comment