SHAH ALAM, 6 Dis. : Kerajaan Negeri Selangor hari ini menegaskan isu pengambilalihan industri perkhidmatan air di negeri itu bertujuan menghalang kezaliman akibat lemahnya perjanjian dan pelaksanaan industri tersebut untuk sekian lama.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam perutusan Maal Hijrah 1432 hari ini berkata dalam isu perkhidmatan air di negeri ini, apa yang malang adalah rakyat diminta menanggung segala kelemahan melalui bantuan kewangan oleh Kerajaan Persekutuan kepada syarikat konsesi tersebut di samping usaha syarikat pemegang konsesi itu meningkatkan harga air dengan kadar yang sangat tinggi.
"Perkara itu berlaku disebabkan wakil rakyat yang dipilih gagal memastikan mereka mewakili kepentingan rakyat.
"Tanpa diwakili, dan ianya tidak dibentang serta dibahaskan di Parlimen, jelaslah bahawa rakyat dimangsakan oleh Barisan Nasional.
"Kerajaan Negeri Selangor yang kini dipimpin oleh Pakatan Rakyat yakin bahawa industri perkhidmatan air ini boleh diuruskan dengan lebih mapan kelak selepas diambil-alih.
Rakyat Selangor khususnya kata Khalid, berhak mendapat perkhidmatan air bersih pada kadar munasabah dan bukan dibuat secara telunjuk lurus kelingking berkait.
"Sebagai penegasan, satu memorandum berkenaannya telah dipanjangkan kepada DYMM Tuanku Yang di-Pertuan Agong.
"Saya berharap, usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk membawa perubahan kepada kehidupan bernegara yang lebih baik akan terus disokong oleh rakyat.
"Di samping itu, teguran dan tunjuk ajar kepada kami amatlah penting dalam usaha memastikan keadilan itu hidup dalam setiap detik waktu," ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan ketibaan 1 Muharam 1432 Hijrah menandakan detik mula tahun baru bagi umat Islam seluruh dunia.
Di mana sebagaimana lazimnya, sambutan tahun baru ini sering diiringi dengan pembaharuan tekad di samping azam baru yang luhur.
"Umumnya, kemahuan untuk berubah daripada kurang baik kepada baik atau baik kepada lebih baik itu adalah maksud perubahan yang seiring dengan ajaran Islam.
"Konsep ini pernah menjadi sebutan ramai ketika Dasar Pandang ke Timur popular di Malaysia. Ia disebut sebagai kaizen, istilah yang menerangkan konsep serupa dalam bahasa Jepun.
Lazimnya, manusia tidak meletakkan tekad dan azam yang buruk dalam kehidupan mereka. Secara fitrahnya, manusia mengimpikan kehidupan terbaik untuk diri masing-masing. Namun, kepelbagaian realiti membuatkan apa yang dilihat baik dan buruk oleh manusia itu rencam sama ada dari segi nilainya atau dari segi pentadbirannya.
Hijrah ujar Khalid, bukan hanya kisah Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat meningggalkan Mekah dan ke Madinah.
Ia juga bukan sekadar petunjuk kehadiran tahun baru.
"Harus diingati bahawa Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.anhum telah bertolak ke Madinah di hujung bulan Safar dan tiba pada 12 Rabiul'awal.
"Tanggal 1 Muharam hanya dipilih oleh Saidina Umar r.a. kemudian. Seluruh peristiwa Hijrah ini tentulah mempunyai makna besar kepada kehidupan manusia, khususnya umat Islam.
Tambah beliau, Hijrah Rasulullah s.a.w. memberi makna besar dalam hidup bernegara di mana kita dapat menyaksikan bagaimana masyarakat disusun berasaskan prinsip universal yang adil kepada semua.
MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT
No comments:
Post a Comment