SHAH ALAM, 9 Dis. : Perhubungan mesra antara parti komponen yang kononnya cuba ditonjolkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Konvensyen Barisan Nasional(BN) baru-baru ini seolah cuba menutup kelemahan dan keretakan perhubungan sesama mereka.
Bermula dengan 'permintaan' Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek yang mahu Umno tidak bersikap seperti 'Big Brother' dan penggunaan frasa keramat Umno 'ketuanan Melayu', tampak bagaimana hubungan kedua parti utama BN ini tidaklah selancar dan semesra seperti senyuman dan laungan 1 Malaysia yang ditunjukkan di TV dan akhbar.
Hari ini Ahli Umno dan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Puad Zarkashi membidas sikap 'tidak sensitif' Chua yang menurutnya memberikan pendapat yang 'kurang' relevan dalam perjuangan BN.
Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Ann Wan Seng berpendapat hal ini menunjukkan betapa perlunya politik negara ini bergerak ke arah politik tanpa perkauman.
Menurutnya ketika dihubungi TV Selangor, sikap terlalu memperjuangkan bangsa masing-masing menyebabkan perpecahan dan pertelingkahan antara Parti Komponen Utama BN.
"Tranformasi politik yang dilakukan itu ialah untuk memecahkan tembok perkauman itu. Selagi mana tembok perkauman ini tidak diatasi, selagi itulah kerjasama yang terjalin antara parti-parti dalam BN itu hanya sekadar untuk kekuasaan mereka dan bukannya ke arah memastikan wujudnya masyarakat yang harmoni dan dapat hidup dengan saling memahami antara satu sama lain," katanya.
Dalam Konvensyen Ahad lalu, Najib mendesak ahli-ahli BN supaya melakukan perubahan agar tidak dijauhi rakyat kerana mereka telah memerintah sejak sekian lama.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata konvensyen sehari yang dihadiri kira-kira 2,340 anggota perwakilan daripada 13 parti komponen BN, rakan-rakan BN dan badan bukan kerajaan (NGO) bertemakan “1Rakyat, 1Negara, 1Wawasan” itu telah meningkatkan semangat mereka untuk melakukan pembaharuan dalam parti.
Namun Ann menganggap parti BN tidak bergerak kerana konsensus ahlinya sebaliknya, berdasarkan suara dan 'arahan' hanya dari satu pihak iaitu Umno dan bertentangan dengan konsep kerjasama antara perikatan BN.
"Kalau kita tengok dasar dan konsep kerjasama dalam BN itu, meletakkan setiap parti itu berada pada landasan ataupun kedudukan sama. Tapi apa yang berlaku hari ini, seolah-olah menunjukkan Umno mendominasi segala perkara dan keputusan BN dan ini yang menyebabkan parti lain terpinggir," katanya.
Justeru, Ann menganggap hal ini menyebabkan Chua, dalam usaha meningkatkan imej dirinya terpaksa menyuarakan suara hati masyarakat Cina kerana tidak mahu MCA ketinggalan sokongan kaum mereka dalam pilihan raya akan datang.
"Barangkali disebabkan Chua Soi Lek ini perlu menyalurkan perasaan dan sikap orang Cina yang sebenarnya iaitu mereka mahukan kaum Cina itu diberikan hak keadilan sebagai sebahagian dari negara ini di mana banyak hak orang Cina diketepikan selama ini seperti berkaitan ekonomi, pemberian biasiswa dalam bidang pendidikan dan sebagainya," jelasnya.
Ann Juga menganggap betapa konvensyen ini bukanlah penyelesaian masalah, sebaliknya menunjukkan betapa Umno masih lagi berleluasa dalam melakukan semua polisi BN walaupun banyak lagi parti dilihat berada dalam 'gabungan' ini.
"Hakikatnya, banyak dari parti-parti itu adalah parti yang kecil, parti yang tidak diberikan kedudukan yang sewajarnya. Sebab itulah ada parti yang tidak diberikan banyak kerusi, kerusi terlalu sedikit. Jadi hal ini yang buat saya rasa akan wujud banyak lagi krisis walaupun tidak secara terbuka antara parti dalam BN," katanya.
MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT
No comments:
Post a Comment