Wednesday, December 29, 2010

Malaysia perlu pergi lebih jauh

Malaysia Juara Piala Suzuki, Tenangkan Penyokong Di Gelora Bung Karno

JAKARTA 29 Dis. : Sebelas anak muda Malaysia mengecewakan jutaan rakyat Indonesia apabila berjaya menjulang Piala AFF Suzuki buat kali pertama dalam sejarah.

Persembahan mantap pasukan Malaysia berjaya menenggelamkan sorakan dan bunyian ribuan vuvuzela serta menahan serangan 'laser' penyokong Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno untuk membawa pulang Piala Suzuki AFF edisi 2010.

Biarpun tewas 2-1, persembahan bertenaga Malaysia berjaya mempertahankan kelebihan 3-0 yang dibawa dari Stadium Bukit Jalil dua hari lalu dengan agregat 4-2

Walau diasak bertubi-tubi Indonesia gagal meroboh benteng Malaysia apabila persembahan cemerlang Khairul Fahmi Che Mat berjaya menahan setiap serangan Indonesia termasuk satu sepakan penalti pada separuh masa pertama.

Penyerang sensasi Malaysia, Safee Sali memecah kebuntuan menerusi larian menarik ala 'Wayne Rooney' pada minit ke 54 menewaskan penjaga gol Indonesia, Markus Harus Maulana dan menghentikan seketika sorakan puluhan ribu penyokong Indonesia.

Malaysia terus bertahan apabila Indonesia menggandakan asakan sehingga Mohamed Nasuha dan Mohammad Ridwan yang menjaringkan gol pada minit ke 71 dan 88.

Piala AFF Suzuki merupakan kejohanan paling berprestij dalam rantau ASEAN ini dulunya dikenali sebagai Piala Tiger.

Kali terakhir Malaysia layak ke Final adalah pada edisi pertama tahun 1996 namun tewas 1-0 kepada Thailand.

No comments:

Post a Comment