Friday, December 17, 2010

Mesej tegas kepada Pandikar Umno

Khalid Samad : PR Disyor Pulau Pandikar Amin Sebagai Speaker













KUALA LUMPUR, 18 Dis. : Pakatan Rakyat disyor timbang kemungkinan memulau persidangan Dewan Rakyat sesi akan datang yang dipengerusikan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia ekoran penggantungan empat wakilnya Khamis lalu.

Lapor portal The Malaysian Insider Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bercadang mengemukakan saranan itu kepada kepimpinan Pakatan Rakyat bagi menyampaikan "mesej protes yang keras" kepada Pandikar agar tidak bertindak bias selaku ketua Dewan Rakyat dan sewenang-wenangnya "membuli" wakil rakyat pembangkang.

Lazimnya perjalanan Dewan Rakyat dipengerusikan secara bergilir-gilir oleh speaker dan dua timbalannya.

Dua timbalannya merupakan anggota Dewan Rakyat yang dipilih dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, cadangan itu hanya membabitkan mana-mana sesi yang dipengerusikan oleh Pandikar.

"Saya akan mencadangkan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat, kemungkinan ketika konvensyen Ahad ini (esok) atau pada mesyuarat Pakatan akan datang . . . kita kena menyampaikan mesej yang tegas kepada Tan Sri Pandikar agar wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat tidak dibuli," kata beliau.

Yang Dipertua PAS Shah Alam ini menyampaikan idea itu ketika berceramah di Puchong semalam.

Ketika dihubungi, Khalid berkata, apa yang berlaku pada hari-hari terakhir sidang Dewan Rakyat terbaru menunjukkan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat seolah-olah dibuli dan tidak dihormati sebagai barisan yang mempunyai satu pertiga kerusi di Parlimen.

Dewan Rakyat akan bersidang semula mulai awal Mac depan di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum akan diadakan awal tahun depan.

"Mereka kena ingat Pakatan Rakyat ada satu pertiga kerusi di Parlimen . . . tapi mereka nak buli, nampak jelas Speaker pilih kasih kepada BN dengan kenyataan-kenyataan sinis seperti 'bercita-cita mahu ke Putrajaya . . . kata-kata ini tidak harus keluar daripada seorang speaker," kata Khalid yang menegaskan Pandikar selaku Speaker Dewan Rakyat perlu bertindak berkecuali demi integriti Parlimen.

Oleh itu kata Khalid, beliau berharap Dewan Rakyat mempunyai seorang speaker yang benar-benar adil kepada semua parti.

"Kita memerlukan seorang speaker yang boleh memastikan perjalanan Dewan Rakyat yang adil dan dengan baik," katanya.

No comments:

Post a Comment